KPM teliti rayuan 110 calon PISMP tidak melepasi saringan kesihatan

Wong Kah Woh

PUTRAJAYA, 28 Jun – Kementerian Pendidikan (KPM) akan meneliti rayuan 110 calon Program Ijazah Sarjana Muda Perguruan (PISMP) yang tidak melepasi saringan kesihatan selepas menerima tawaran pengajian.

RINGKASAN BERITA AI
  • KPM menyeru agar rayuan calon dikemukakan untuk diteliti semula, termasuk taraf dan laporan kesihatan.
  • Pemeriksaan kesihatan dilaksanakan lebih awal bagi mengesan, meneliti dan membantu calon yang tidak memenuhi syarat kesihatan.
  • Penambahbaikan prosedur pemilihan dilaksanakan untuk memastikan proses lebih awal, tersusun dan pengesanan awal status kesihatan calon.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, daripada 6,392 calon yang ditawarkan bagi fasa pertama lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), hanya 110 calon dikenal pasti tidak memenuhi syarat saringan kesihatan.

“Bagi 110 orang calon ini, KPM menyeru agar rayuan dikemukakan. Pada minggu hadapan, KPM akan meneliti semula semua rayuan yang diterima, termasuk aspek taraf serta laporan kesihatan masing-masing.

“Kita akan membantu dari segi itu bagi memastikan mereka yang layak dan memenuhi syarat kesihatan dapat dipertimbangkan semula untuk diberikan peluang,” katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan Istiadat Konvokesyen Institut Pendidikan Guru Kementerian Pendidikan Ke-17, Sidang Kedua, di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) di sini hari ini.

Penambahbaikan prosedur sedia ada dilaksanakan bagi memastikan proses pemilihan calon guru dapat dilakukan dengan lebih awal, tersusun dan membantu pengesanan awal status kesihatan calon.

“Kali ini kita mahu memurnikan prosedur, iaitu selepas tawaran bagi fasa pertama dikeluarkan, kita meminta agar dokumen-dokumen dikemukakan.

“Pada masa yang sama, pemeriksaan kesihatan dilaksanakan lebih awal supaya kita dapat mengesan, meneliti serta membantu setiap individu yang mungkin tidak melepasi tahap kesihatan yang diperlukan,” jelasnya.

KPM sentiasa menghargai semua calon sebagai aset penting dalam usaha memperkukuh bekalan tenaga pengajar negara serta memastikan lebih ramai lepasan layak menyertai bidang pendidikan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.