Kos sara hidup, kemudahan menjalankan perniagaan antara fokus Kerajaan MADANI

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, ketika mengadakan sidang media selepas menghadiri Sesi Pemukiman Kerajaan MADANI Tahun 2026, hari ini/foto BERNAMA

BANGI, 11 Januari – Kerajaan MADANI optimis dengan hasil kestabilan yang diperoleh selama 38 bulan pentadbirannya dengan pelbagai indikator ekonomi negara menunjukkan prestasi positif.

RINGKASAN BERITA AI
  • Utamakan usaha menangani isu kos sara hidup bagi meringankan beban rakyat.
  • Mempertingkatkan kemudahan menjalankan perniagaan untuk memudahkan aktiviti ekonomi.
  • Pastikan dasar ekonomi memberi manfaat langsung kepada rakyat.
  • Fokus kepada pertumbuhan ekonomi mampan melalui dasar yang berkesan.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil, berkata keutamaan kerajaan ketika ini adalah memastikan ekonomi negara kekal berada di landasan yang betul di samping memberi perhatian khusus dalam menangani isu kos sara hidup rakyat.

Datuk Fahmi yang juga jurucakap kerajaan, berkata aspek kemudahan menjalankan perniagaan juga perlu diberi penekanan bagi memudahkan aktiviti perniagaan sekali gus menyokong pertumbuhan ekonomi negara secara mampan.

“Kita lihat pada hari ini ringgit berada pada kedudukan yang sangat kuat. Selain itu, pengangguran berada pada tahap paling rendah dalam tempoh 14 tahun sekali gus membuktikan indikator negara berada di landasan yang betul dan tepat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menghadiri Sesi Pemukiman Kerajaan MADANI Tahun 2026, di sini.

Dalam pada itu, Datuk Fahmi menegaskan keperluan memastikan hasil daripada dasar-dasar yang menyumbang kepada peningkatan ekonomi dapat diterjemah untuk manfaat kepada rakyat.

“Kita juga ada sentuh mengenai keperluan untuk memastikan hasil daripada dasar-dasar yang memungkinkan ekonomi bertambah baik yang akhirnya dapat diterjemah menjadi satu kebaikan dan dimanfaatkan kepada rakyat,” katanya.

Program Permukiman Kerajaan MADANI 2026 itu dihadiri Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Datuk Seri Fadillah Yusof serta menteri-menteri Kabinet.

Hadir sama dalam permukiman itu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Openg; Menteri-Menteri Besar dan Ketua Menteri Kerajaan Perpaduan.