Pelaksanaan subsidi diesel imbangi harga, jamin bekalan

Foto hiasan/BERNAMA

ULASAN BERITA

RINGKASAN BERITA AI
  • Pelaksanaan subsidi bersasar BUDI MADANI Diesel pada RM2.10 seliter bermula 1 Julai, dengan akses awal untuk pemilik kenderaan diesel persendirian di Semenanjung.
  • Subsidi meringankan kos operasi bagi sekitar 700,000 pemilik, membantu isi rumah, petani, nelayan, usahawan kecil serta menstabilkan sektor logistik.
  • MyKad digunakan untuk sasaran, menghalang penyeludupan serta ketirisan, menjamin bekalan stabil dan mengekalkan keupayaan fiskal negara.

Ketika rangka perjanjian akhir antara Washington dengan Tehran masih mencari penyelesaian tuntas, krisis bekalan tenaga terus memberi kesan kepada dunia.

Ia ibarat peluru tidak bermata yang sasarannya mengenai banyak negara, termasuk Malaysia.

Namun, negara masih mampu menampung kesan gangguan tersebut menerusi penyesuaian rantaian bekalan.

Pelaksanaan penyasaran subsidi diesel kepada RM2.10 seliter menerusi inisiatif BUDI MADANI Diesel bermula 1 Julai ini, memberi isyarat jelas bahawa negara masih mampu menampung kesan gangguan perdagangan di Selat Hormuz.

Langkah tersebut bukan sahaja mengurangkan impak turun naik harga minyak dunia terhadap pengguna dan sektor perniagaan.

Malah, meningkatkan daya tahan negara dalam menghadapi ketidaktentuan pasaran tenaga global yang dipengaruhi faktor geopolitik.

Sebagai persediaan pelaksanaan penuh, akses awal BUDI Diesel akan dibuka mulai esok kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung.

Dari sudut impak, pelaksanaan subsidi tersebut memberi kelegaan kepada pengguna kenderaan diesel, khasnya 700,000 pemilik kenderaan diesel persendirian.

Dengan kos operasi lebih rendah, ia dapat membantu mengurangkan perbelanjaan isi rumah dan sektor ekonomi yang menggunakan diesel secara langsung termasuk petani, nelayan serta usahawan kecil.

Impak berantai itu dijangka memberi manfaat kepada sektor logistik dan pengangkutan susulan kos bahan api lebih rendah.

Walaupun kesan terhadap harga barangan mungkin mengambil sedikit masa untuk dirasai, penurunan kos operasi mampu membantu mengekang peningkatan harga barang dan perkhidmatan pada masa hadapan.

Mengenai had kelayakan dan fleksibiliti penggunaan, setiap individu yang layak akan menikmati had asas sehingga 200 liter sebulan bagi diesel atau RON95 menerusi mekanisme itu.

Pemilik persendirian kenderaan diesel seperti pikap dan jip yang memenuhi syarat turut menikmati tambahan 100 liter sebulan, menjadikan kelayakan keseluruhan mencecah sehingga 300 liter.

Bagi menjamin bekalan terus stabil, MyKad digunakan sebagai instrumen utama penyasaran subsidi bertujuan memastikan hanya rakyat Malaysia menikmati diesel pada harga bersubsidi.

Ibarat serampang dua mata, mekanisme itu juga menghalang aktiviti penyeludupan bahan api, sekali gus mengurangkan ketirisan yang selama ini menyebabkan kerugian besar kepada negara.

Langkah kawalan lebih tersusun penting, terutama ketika pasaran tenaga global berdepan cabaran akibat ketegangan geopolitik di Asia Barat dan gangguan rantaian bekalan antarabangsa.

Dengan memastikan subsidi hanya dinikmati rakyat Malaysia yang layak, kerajaan dapat mengekalkan keupayaan fiskal negara untuk terus menampung subsidi bahan api, tanpa menjejaskan bekalan domestik.

Bahkan, pengalaman pelaksanaan rasionalisasi diesel sebelum ini menunjukkan usaha mengurangkan ketirisan berjaya menghasilkan penjimatan ketara kepada kerajaan, selain mengurangkan penyalahgunaan subsidi.

Pelaksanaan BUDI Diesel, dijangka mampu mengurangkan ketirisan sehingga satu bilion liter setahun.

Dengan penjimatan yang dianggarkan mencecah dua bilion ringgit dalam tempoh 12 bulan, langkah ini mencerminkan komitmen kerajaan dalam mengoptimumkan perbelanjaan awam.

Bagi melindungi rakyat daripada turun naik harga pasaran melalui subsidi bersasar, Kerajaan memperkukuh keterjaminan bekalan jangka panjang melalui kerjasama strategik dengan rakan antarabangsa.

Rusia telah memberi jaminan kepada Malaysia mengenai bekalan minyak, gas dan diesel untuk tempoh sekurang-kurangnya 20 tahun.

Turkmenistan pula membenarkan Petronas terlibat dalam pembangunan satu daripada medan gas telaga asli terbesar di dunia yang terletak di negara itu.

Langkah strategik ini terus memperkukuh keselamatan tenaga negara untuk jangka panjang dan meneroka potensi ekonomi baharu.

Bukan itu sahaja, ia turut dilihat sebagai langkah penting dalam mengurangkan kebergantungan kepada satu sumber tenaga sahaja.

Kejayaan tersebut memberi pulangan strategik kepada ekonomi, kestabilan fiskal, serta meningkatkan daya saing Malaysia dalam sektor industri berasaskan tenaga.

Secara keseluruhan, pelaksanaan penyasaran subsidi diesel merupakan usaha berterusan kerajaan dalam memastikan manfaat sampai kepada rakyat secara menyeluruh, tanpa ada golongan yang layak tercicir.

Ulasan berita ini disediakan oleh Editor Berita RTM, Firdaus Rusli.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.