fb fb fb fb fb

Kes tuntutan palsu, pegawai kerajaan direman lagi - SPRM

Anggota SPRM mengiringi seorang pegawai kerajaan persekutuan ke mahkamah bagi mendapatkan perintah reman. Foto- RTM

KANGAR, 10 September - Seorang pegawai jabatan kerajaan persekutuan direman sehingga 16 September bagi membantu siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung penerimaan wang secara tidak sah berjumlah RM12,000.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Ana Rozana Mohd Nor selepas suspek dibawa ke Kompleks Mahkamah Kangar pada pukul 9 pagi tadi.

Suspek berusia 49 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang semalam di Pejabat SPRM Negeri Perlis selepas dipanggil untuk memberi keterangan.

Menurut sumber SPRM, siasatan menjurus kepada salah guna kuasa dan jawatan dengan menerima wang sewaan tanah hasil penanaman padi selama empat musim bermula 2023 sehingga kini, dengan bayaran semusim sebanyak RM3,000.

Tanah berkenaan merupakan hak milik jabatan kerajaan persekutuan dengan keluasan lebih kurang dua hektar yang belum dibangunkan.

Transaksi dipercayai dilakukan secara tunai bersama pengusaha sawah berkenaan dan digunakan untuk kepentingan peribadi suspek.

Kes disiasat mengikut Seksyen 23 Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 berhubung kesalahan salah guna kedudukan atau jawatan oleh pegawai awam.

Suspek sebelum ini pernah ditahan dan direman SPRM berhubung kes tuntutan palsu kehadiran bertugas kakitangannya berjumlah RM30,000 pada Februari 2025 lalu.

NUR SHARIDA SHAHABUDDIN