Kerja penggantian paip di dasar Sungai Perai tanpa gangguan bekalan air

Foto RTM

BUTTERWORTH, 28 Januari – Penggunaan teknologi baharu line stopping dan hot tapping membolehkan kerja penggantian paip bekalan air di bawah dasar Sungai Perai dilaksanakan tanpa sebarang gangguan bekalan air berjadual (SWSI).

RINGKASAN BERITA AI
  • Teknologi line stopping dan hot tapping membolehkan penggantian paip bawah Sungai Perai tanpa gangguan bekalan air berjadual.
  • Kaedah baharu memastikan sambungan paip dibuat tanpa menutup sistem, mengekalkan perkhidmatan kepada pengguna.
  • Sebanyak 26,000 akaun pengguna di Seberang Perai Utara dan Tengah tidak terjejas sepanjang kerja di dua lokasi terakhir.
  • Empat lokasi paip lama diganti melalui pembinaan paip pintasan dengan kos projek RM18.6 juta.

Pendekatan itu sekali gus menjamin kesinambungan perkhidmatan kepada puluhan ribu pengguna di Seberang Perai.

Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, berkata teknologi tersebut digunakan bagi kerja penggantian paip di dua lokasi terakhir lintasan Sungai Perai, berbeza dengan kaedah konvensional yang sebelum ini memerlukan penutupan bekalan air sementara.

Menurut beliau, kaedah baharu itu memastikan sebanyak 26,000 akaun pengguna di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah tidak terjejas sepanjang tempoh kerja dilaksanakan.

“Teknologi line stopping dan hot tapping digunakan dengan pembinaan paip pintasan bagi menggantikan paip lama yang melintasi dasar sungai. Kelebihannya, kerja sambungan antara paip baharu dan paip sedia ada dapat dilakukan tanpa menutup bekalan air, sekali gus memastikan 26,000 akaun pengguna di Seberang Perai Utara dan Seberang Perai Tengah tidak terganggu,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas lawatan tapak bagi meninjau kemajuan kerja penyambungan akhir saluran paip menyeberangi Sungai Perai kedua yang siap sepenuhnya hari ini, lebih awal daripada jadual.

Hadir sama Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang (PBAPP), Datuk Ir. K. Pathmanathan.

Chow berkata, empat lokasi paip bekalan air yang ditanam di bawah dasar Sungai Perai sejak lebih 50 tahun lalu kini telah diganti sepenuhnya menerusi pembinaan paip pintasan.

Empat lokasi terbabit ialah Ampang Jajar, Kampung Telok, Pengkalan Tambang dan Kampung Bagan Serai.

Beliau menjelaskan, kerja penggantian paip di dua lokasi terawal bermula Januari 2025 dan siap pada 20 April 2025, yang memerlukan penutupan bekalan air sementara.

Bagaimanapun, bagi dua lokasi terakhir, PBAPP menggunakan teknologi baharu yang membolehkan sambungan paip dibuat ketika sistem masih beroperasi.

Secara keseluruhan, kos projek penggantian paip bagi empat lintasan Sungai Perai berjumlah RM18.6 juta.