
PUTRAJAYA, 29 Julai – Kerajaan menyasarkan pembinaan 1,000 Taman Awam MADANI di seluruh negara menjelang 2030 bagi menggalakkan rakyat mengamalkan gaya hidup sihat dan meningkatkan kesejahteraan komuniti.
- Peruntukan RM500 juta diluluskan sebagai pelaburan jangka panjang untuk kesejahteraan rakyat.
- Taman awam penting untuk galakkan gaya hidup sihat dan kurangkan risiko penyakit tidak berjangkit.
- Projek perintis berjaya di Bandar Baru Tambun, Ipoh pada 2025 sebagai model sebelum pengembangan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, kerajaan meluluskan peruntukan sebanyak RM500 juta bagi menjayakan inisiatif berkenaan sebagai pelaburan jangka panjang untuk kesejahteraan rakyat.
Menurut beliau, penyediaan lebih banyak taman awam dan ruang terbuka amat penting bagi menggalakkan aktiviti riadah serta mengurangkan risiko penyakit tidak berjangkit yang berpunca daripada gaya hidup tidak sihat.
“Kita menggalakkan rakyat Malaysia mengamalkan gaya hidup sihat. Sebab itu sangat penting kita mempunyai taman kejiranan supaya selepas bekerja, rakyat bukan sekadar makan, tetapi turut meluangkan masa untuk bersenam.
Untuk memastikan rakyat terus hidup sihat dan sejahtera, kita memerlukan lebih banyak ruang terbuka seperti taman awam. Ini merupakan pelaburan strategik Kerajaan MADANI untuk meningkatkan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Pra-Pelancaran Sambutan Hari Landskap Negara 2026, di sini, hari ini.
Nga berkata, peruntukan RM500 juta itu adalah kecil jika dibandingkan dengan kos rawatan perubatan yang perlu ditanggung pada masa depan sekiranya rakyat tidak mengamalkan gaya hidup sihat.
Terdahulu, Taman Awam MADANI pertama negara berjaya dibangunkan di Bandar Baru Tambun, Ipoh, Perak pada 2025 sebagai projek perintis sebelum inisiatif itu diperluaskan ke seluruh negara.