AI Malaysia Berhad perkukuh ekosistem kecerdasan buatan negara

Foto Jabatan Perdana Menteri

KUALA LUMPUR, 29 Julai Penubuhan AI Malaysia Berhad disifatkan sebagai langkah strategik dalam memperkukuh ekosistem kecerdasan buatan (AI) negara dan merealisasikan aspirasi Malaysia sebagai Negara AI menjelang 2030.

RINGKASAN BERITA AI
  • Melanjutkan agenda transformasi AI negara bermula dengan National AI Roadmap dan NAIO.
  • Berperanan sebagai agensi pemangkin untuk memacu dan menyusun agenda AI serta menghadapi cabaran teknologi pesat.
  • Perlu merombak sistem penghalang dan memperbaiki aspek untuk memacu aspirasi Made by Malaysia.
  • Memperkukuh pembangunan bakat tempatan, membina keyakinan masyarakat dan menggalakkan kerjasama rentas kementerian, industri, pendidikan.

Dekan Fakulti Kecerdasan Buatan (FAI), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof. Ts. Dr. Mohd Naz’ri Mahrin berkata penubuhan agensi itu merupakan kesinambungan kepada agenda transformasi AI negara yang bermula menerusi Nasional AI Roadmap pada 2021, sebelum diteruskan dengan penubuhan Pejabat AI Kebangsaan (NAIO).

Menurut beliau, penubuhan AI Malaysia Berhad adalah langkah tepat bagi memastikan agenda AI negara dipacu secara lebih tersusun dan mampu memenuhi cabaran perkembangan teknologi yang semakin pesat.

“AI Malaysia Berhad seperti yang ditekankan perlu berperanan sebagai agensi pemangkin dalam memperkukuh agenda AI negara.

“Sehubungan itu, AI Malaysia Berhad perlu bertindak lebih agresif merombak sistem yang menjadi penghalang kepada kejayaan agenda AI negara, disamping menambah baik aspek yang perlu bagi memacu aspirasi Made by Malaysia,” katanya ketika dihubungi RTM.

Beliau berkata, pendekatan itu penting bagi memastikan strategi pembangunan AI negara sentiasa bersifat dinamik, selain memperkukuh pembangunan bakat dan kepakaran tempatan agar teknologi yang dibangunkan pada masa depan dihasilkan oleh rakyat Malaysia.

Tambah beliau, AI Malaysia Berhad turut memikul tanggungjawab membina keyakinan masyarakat terhadap penggunaan AI serta menggalakkan kerjasama merentas kementerian, agensi, industri dan institusi pendidikan bagi memastikan manfaat teknologi itu dapat dinikmati secara menyeluruh.

Terdahulu, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melancarkan AI Malaysia Berhad sebagai agensi di bawah Kementerian Digital yang akan bertindak sebagai pemangkin utama pelaksanaan agenda AI negara.

Perdana Menteri turut menegaskan badan itu bukan sekadar menyelaras inisiatif AI, malah berperanan mempercepat pelaksanaan dasar serta memperkukuh kerjasama pelbagai pihak ke arah merealisasikan aspirasi Malaysia.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.