Pendedahan laporan disokong, 75 peratus syor RCI telah dilaksanakan – TH

Foto fail BERAMA

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Lembaga Tabung Haji (TH) menyambut baik keputusan kerajaan mendedahkan kepada umum laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan institusi itu, sambil menegaskan komitmennya untuk melaksanakan sepenuhnya syor-syor yang dikemukakan bagi memperkukuh tadbir urus dan integriti organisasi.

RINGKASAN BERITA AI
  • 75 peratus syor RCI telah dilaksanakan; baki syor sedang dalam proses pelaksanaan.
  • Transformasi TH mencatat pemulihan kewangan, pembentukan rizab dan kadar agihan keuntungan meningkat kepada 3.5%.
  • Kos haji dikekalkan pada RM33,300 seorang selama tiga tahun berturut-turut meskipun kos operasi global meningkat.
  • Kabinet menyahklasifikasi laporan RCI 2014-2020; laporan akan dibentang dan dibahaskan serta syor siasatan lanjut dikemukakan.

Dalam satu kenyataan hari ini, TH memaklumkan pihaknya telah mengambil maklum syor-syor RCI yang menyentuh isu-isu sebelum tahun 2018 dan menegaskan institusi itu kini telah melalui pelbagai pembaharuan.

“TH telah mengambil maklum syor-syor RCI berhubung apa yang berlaku sebelum tahun 2018. Sejak itu, TH telah melangkah ke hadapan,” menurut kenyataan tersebut.

TH berkata, sehingga kini sebanyak 75 peratus daripada syor RCI telah dilaksanakan, manakala baki syor sedang dalam proses pelaksanaan bagi terus memperkukuh tadbir urus serta kesejahteraan institusi.

Menurut TH, pelbagai pencapaian turut direkodkan hasil proses transformasi yang dilaksanakan, termasuk pemulihan petunjuk kewangan, pembinaan rizab serta peningkatan kadar agihan keuntungan kepada 3.5 peratus, iaitu kadar tertinggi dalam tempoh lapan tahun.

“TH telah melaksanakan 75 peratus daripada syor RCI bagi meningkatkan tadbir urus dan kesejahteraan institusi ini. Selebihnya kini sedang dalam proses pelaksanaan,” menurut TH.

Institusi itu turut memaklumkan kejayaannya mengekalkan kos haji pada kadar RM33,300 seorang selama tiga tahun berturut-turut meskipun berdepan peningkatan kos operasi haji di peringkat global.

Sehubungan itu, TH menegaskan akan terus komited melindungi kepentingan lebih sembilan juta pendeposit, mengukuhkan keyakinan awam serta memastikan institusi berkenaan beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab.

“TH kekal komited untuk melindungi kepentingan para pendeposit, mengukuhkan kepercayaan awam, serta memastikan institusi ini terus beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu hari ini, Kabinet bersetuju menyahklasifikasikan dan mendedahkan kepada umum laporan RCI berhubung pengurusan dan operasi Lembaga Tabung Haji bagi tempoh 2014 hingga 2020.

Jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata laporan itu turut mengandungi syor supaya agensi penguat kuasa menjalankan siasatan lanjut terhadap sebarang kemungkinan pelanggaran undang-undang.

Kerajaan juga memaklumkan laporan tersebut akan dibentangkan dan dibahaskan dalam sidang khas Parlimen.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.