Jemaah Menteri setuju dedah laporan RCI Tabung Haji hari ini

Gambar hiasan

KUALA LUMPUR, 29 Julai – Jemaah Menteri bersetuju membuat pengelasan semua dan mendedahkan Laporan Siasatan Suruhanjaya Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji (TH) bagi tempoh 2014 hingga 2020, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Laporan RCI menggariskan 25 syor; 75 peratus daripadanya telah dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi Tabung Haji.
  • Prestasi Tabung Haji menunjukkan pemulihan; pengumuman kadar agihan keuntungan 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025.
  • Siasatan penuh oleh badan penguatkuasaan akan diteruskan serta-merta, dan pihak terbabit boleh dibawa ke muka pengadilan jika wujud pelanggaran undang-undang.

Menteri Komunikasi yang juga Jurucakap Kerajaan, Datuk Seri Fahmi Fadzil dalam satu kenyataan berkata, keputusan itu dibuat selepas Jemaah Menteri menerima taklimat daripada pengurusan tertinggi TH dan memperhalusi laporan berkenaan dalam mesyuarat hari ini.

“Laporan RCI tersebut menggariskan 25 syor tindakan penambahbaikan, dengan 75 peratus daripadanya telah berjaya dilaksanakan oleh pengurusan tertinggi TH.

Jemaah Menteri turut mengambil maklum prestasi semasa TH yang menunjukkan pemulihan lebih baik susulan pengumuman kadar agihan keuntungan sebanyak 3.5 peratus bagi tahun kewangan 2025,” katanya.

Beliau berkata, Jemaah Menteri juga memutuskan bahawa siasatan penuh oleh badan-badan penguatkuasaan berdasarkan laporan ini akan diteruskan serta-merta.

Jelasnya, pihak-pihak terbabit akan dibawa ke muka pengadilan, sekiranya wujud sebarang pelanggaran undang-undang.

Sebelum ini Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan bersedia mendedahkan laporan akhir RCI berkaitan TH dalam masa terdekat, bagi membolehkan rakyat mengetahui hasil siasatan terhadap dakwaan penjualan aset strategik agensi itu.

Selain itu, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan pula memaklumkan, keputusan berhubung cadangan mendedahkan laporan RCI itu, akan dibincangkan dalam Mesyuarat Jemaah Menteri susulan terdapat kekeliruan dan dakwaan penjualan aset strategik TH oleh bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.