
PUTRAJAYA, 29 Julai – Majlis Perasmian Hari Landskap Negara (HLN) 2026 buat julung kalinya akan diadakan pada waktu malam, sekali gus menawarkan kelainan serta pengalaman baharu kepada para pengunjung.
- Program empat hari, 6 Ogos hingga 9 Ogos, bertempat di Stadium Hang Jebat, Melaka.
- Bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
- Berharap tingkatkan kesedaran mengenai kepentingan landskap lestari bagi bandar hijau, berdaya tahan dan sejahtera.
- Dijangka menarik lebih 80,000 pengunjung dan memberi limpahan ekonomi kepada pelancongan dan perusahaan hijau tempatan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata penganjuran pada waktu malam dijangka mampu menarik kehadiran lebih ramai pengunjung kerana kebanyakan masyarakat mempunyai masa lapang selepas waktu bekerja dan sesi persekolahan.
“Perasmian pada waktu malam membolehkan elemen pencahayaan landskap, iluminasi pokok, taman dan struktur hiasan dipamerkan dengan lebih berkesan, sekali gus menyerlahkan keindahan reka bentuk landskap serta mewujudkan pengalaman yang lebih menarik kepada pengunjung.
“Ia juga memberi nilai tambah kepada program melalui persembahan multimedia, pencahayaan dekoratif dan aktiviti hiburan yang lebih berkesan dalam suasana malam,” katanya ketika sidang media prapelancaran HLN, hari ini.
Program yang diadakan selama empat hari bermula pada 6 Ogos sehingga 9 Ogos ini bertempat di Stadium Hang Jebat, Melaka dan bakal dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Kami berharap sambutan ini menjadi platform meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan landskap lestari dalam membentuk bandar yang hijau, berdaya tahan dan sejahtera,” tambahnya.
Tambah beliau, HLN dijangka menarik lebih 80,000 pengunjung serta memberi limpahan ekonomi kepada sektor pelancongan, hortikultur, nurseri, seni bina landskap serta perusahaan hijau tempatan.