KUALA LUMPUR, 24 Oktober – Kerajaan memperuntukkan RM10 bilion bagi Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP) tahun hadapan, yang dijangka membantu hampir 20,000 pembeli rumah mendapatkan pinjaman perumahan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata inisiatif tersebut merupakan komitmen kerajaan untuk memastikan setiap rakyat Malaysia mampu memiliki rumah sendiri, khususnya pekerja dalam ekonomi gig dan mahasiswa yang baru menamatkan pengajian.
"Ini akan menyelesaikan isu kebolehpercayaan bank, khususnya untuk pekerja ekonomi gig dan mahasiswa yang sukar mendapatkan pinjaman. Dengan SJKP dan tambahan RM10 bilion ini, mereka boleh memohon pinjaman bagi membeli rumah," katanya.
Beliau berkata demikian pada sesi libat urus bersama media sempena pembentangan Belanjawan 2025 di sini.
Selain itu, mulai tahun hadapan, kerajaan turut menawarkan pelepasan cukai sehingga RM7,000 untuk bayaran faedah pinjaman perumahan.
Ini terutamanya kepada pembeli rumah pertama yang membeli kediaman di bawah harga RM500,000 untuk tempoh tiga tahun.
Dalam pada itu, Kor Ming berkata, menerusi Belanjawan 2025, kerajaan turut memperuntukkan lebih RM50 juta bagi membaik pulih prasarana pasar awam di kawasan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
Peruntukan tersebut merangkumi cadangan pembinaan pasar baharu.
Kor Ming berkata, mekanisme baharu akan dilaksanakan bagi pemilihan tender untuk projek pasar awam, yang bernilai RM10 juta ke atas.
Kementerian akan bekerjasama dengan Pertubuhan Arkitek Malaysia untuk mengadakan pertandingan seni bina secara terbuka.
"Dasar baharu kita sangat jelas, mana-mana pembinaan pasar awam bernilai RM10 juta ke atas wajib menggunakan sistem tender terbuka," katanya.
Inisiatif itu bertujuan menjadikan pasar sebagai destinasi pelancongan yang mempamerkan keunikan budaya Malaysia kepada dunia, di samping fungsinya sebagai tempat membeli-belah.