Kerajaan laksana intervensi proaktif, perkukuh ketahanan ekonomi

Foto FB Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR, 25 Mac – Kerajaan akan melaksanakan beberapa langkah intervensi awal secara proaktif bagi memastikan ketahanan ekonomi negara terus terpelihara susulan konflik di Asia Barat.

RINGKASAN BERITA AI
  • Mesyuarat MTEN dipengerusikan Perdana Menteri meneliti perkembangan geopolitik, tekanan ekonomi global dan implikasi keselamatan.
  • Kerajaan memperkukuh keterjaminan bekalan tenaga dengan mempelbagaikan sumber dan meneroka laluan alternatif mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz.
  • Kesejahteraan rakyat, terutamanya kos sara hidup, kekal keutamaan Kerajaan MADANI walaupun suasana perayaan Aidilfitri.
  • Kerajaan akan memantau rapi konflik, menyalurkan maklumat terkini dan menyeru ketenangan, disiplin serta semangat kebersamaan demi kestabilan negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, keputusan itu dicapai dalam Mesyuarat Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) yang dipengerusikannya hari ini.

Menurut beliau, mesyuarat berkenaan meneliti perkembangan geopolitik semasa, tekanan ekonomi global serta implikasi keselamatan akibat konflik tersebut.

Kerajaan juga akan menggembleng usaha bagi menjamin keterjaminan bekalan tenaga, termasuk mempelbagaikan sumber serta meneroka laluan alternatif bagi mengurangkan kebergantungan kepada laluan berisiko seperti Selat Hormuz.

“Walaupun masih dalam suasana perayaan Aidilfitri, kesejahteraan rakyat khususnya kos sara hidup kekal menjadi keutamaan Kerajaan MADANI,” kata beliau menerusi hantaran di laman Facebook.

Perdana Menteri berkata, kerajaan akan terus memantau rapi perkembangan konflik berkenaan dan menyalurkan maklumat terkini kepada rakyat.

“Dalam mendepani cabaran itu, ketenangan, disiplin dan semangat kebersamaan amat penting untuk memastikan negara kekal stabil dan berdaya tahan,” kata beliau.