
KUALA LUMPUR, 25 Mac – Malaysia dan Singapura menyokong seruan Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) supaya gencatan senjata segera dilaksanakan susulan konflik di Asia Barat yang semakin meruncing.
- Anwar bincang dengan PM Singapura Lawrence Wong; Wong menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan.
- Kedua pemimpin berkongsi kebimbangan mengenai penutupan Selat Hormuz dan serangan ke atas infrastruktur kritikal yang boleh menggugat pasaran minyak dunia.
- Mereka tekankan bahawa pertikaian harus diselesaikan melalui dialog dan saluran diplomatik.
- Malaysia sedia menyokong usaha meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan, keadilan dan kestabilan di Asia Barat.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata perkara itu dizahirkan dalam perbualan telefon bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lawrence Wong, yang turut menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan.
“Malaysia menyokong seruan PBB yang menuntut gencatan senjata segera dilaksanakan, di samping menggesa semua pihak kembali ke meja rundingan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.
Kedua-dua pemimpin turut berkongsi kebimbangan terhadap penutupan Selat Hormuz serta serangan ke atas infrastruktur kritikal yang berpotensi menggugat kestabilan pasaran minyak dunia dan keselamatan tenaga serantau, khususnya di Asia Tenggara.
“Saya dan PM Lawrence senada bahawa segala pertikaian harus diselesaikan melalui dialog dan saluran diplomatik,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia bersedia menyokong sebarang usaha ke arah meredakan ketegangan serta memulihkan keamanan, keadilan dan kestabilan di Asia Barat.