Hakim Danish tamatkan perlumbaan di tempat ke-10 di GP Perancis

Foto Facebook Hakim Danish

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Pelumba Moto3 negara Muhammad Hakim Danish Ramli meneruskan rentak konsisten apabila menamatkan perlumbaan Grand Prix (GP) Perancis di kedudukan ke-10, sekali gus meraih enam mata berharga dalam kempen musim ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Menamatkan perlumbaan 13 pusingan di Litar Le Mans yang basah, dengan ketinggalan 21.487 saat kepada juara Maximo Quiles.
  • Maximo Quiles dari pasukan CFMOTO Gaviota Aspar memenangi GP Perancis dengan masa 24 minit 41.640 saat.
  • Adrian Fernandez berada di tempat kedua, manakala Matteo Bertelle meraih tempat ketiga masing-masing 1.888s dan 4.227s di belakang pemenang.
  • Quiles terus mendahului carta dengan 115 mata; Fernandez 93, Alex Carpe 53 dan Hakim Danish 18 mata, di tangga ke-15 daripada 27.

Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu berjaya mengharungi perlumbaan 13 pusingan di Litar Le Mans yang dibasahi hujan dengan ketinggalan 21.487 saat (s) di belakang juara Maximo Quiles daripada pasukan CFMOTO Gaviota Aspar.

Quiles mencatat masa 24 minit 41.640s, meninggalkan pelumba Leopard Racing, Adrian Fernandez yang menamatkan saingan di tempat kedua dengan jurang 1.888s.

Tempat ketiga menjadi milik Matteo Bertelle daripada pasukan Level UP-MTA yang mencatat masa 4.227s di belakang pemenang.

Kemenangan itu membolehkan Quiles terus mengungguli carta kejuaraan dengan 115 mata, diikuti Fernandez (93 mata) pelumba Red Bull KTM Ajo, Alex Carpe (53 mata) manakala Hakim Danish mengumpul 18 mata untuk berada di tangga ke-15 daripada 27 pelumba.- BERNAMA