
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Territory Stingers meraih tiga mata penuh selepas menewaskan Terengganu 2-1 dalam aksi Kumpulan Wanita Liga Hoki TNB Malaysia 2026 yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil.
- Breaha Catley membuka jaringan pada minit ke-13 melalui pukulan sudut penalti.
- Hope Ralph menggandakan kedudukan pada minit ke-35 melalui pukulan sudut penalti.
- Juliani Mohamad Din merapatkan jurang pada minit ke-42 menerusi pukulan sudut penalti.
- Jurulatih Terengganu mengakui perlu memperbaiki penyudah dan kekalkan momentum menjelang perlawanan menentang Negeri Sembilan.
Stingers membuka jaringan seawal minit ke-13 menerusi pukulan sudut penalti yang disempurnakan Breaha Catley untuk meletakkan pasukan pelawat di depan.
Memasuki separuh masa kedua, Stingers menggandakan kedudukan pada minit ke-35 hasil satu lagi pukulan sudut penalti menerusi Hope Ralph, sekali gus memberi tekanan kepada Terengganu dengan keputusan 2-0.
Terengganu berusaha merapatkan jurang pada minit ke-42 menerusi jaringan pukulan sudut penalti oleh Juliani Mohamad Din untuk menghidupkan kembali harapan.
Asakan demi asakan dilancarkan Terengganu namun benteng pertahanan Territory Stingers kebal untuk mengekang kebangkitan tuan rumah sehingga wisel penamat dibunyikan, sekali gus memastikan kemenangan 2-1 kekal milik mereka.
Sementara itu, Jurulatih Terengganu Muhammad Fakhri Ardillah mengakui anak buahnya masih berusaha mencapai prestasi terbaik meskipun memberikan saingan sengit sepanjang perlawanan.
“Kalau kita lihat perlawanan malam ini, kedua-dua pasukan mempunyai peluang yang seimbang. Pasukan lawan berjaya memanfaatkan peluang yang diperoleh.
“Kita juga melancarkan beberapa serangan, namun terdapat sedikit kesilapan dalam penyudah untuk menghasilkan gol. Perkara itu akan diperbaiki menjelang perlawanan seterusnya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas tamat perlawanan di Stadium Nasional Hoki Bukit Jalil, di sini.
Bagaimanapun pasukan Terengganu masih perlu memperkemas aspek serangan, khususnya dalam meningkatkan keberkesanan penyudah bagi memastikan setiap peluang yang terhasil dapat dimanfaatkan dengan lebih baik.
Mengulas aksi seterusnya menentang pendahulu liga, Negeri Sembilan, Muhammad Fakhri berkata pasukan akan melakukan persiapan rapi selain memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan momentum serta konsistensi permainan sepanjang perlawanan.