
KUALA LUMPUR, 10 Mei – Atlet lempar cakera, Muhammad Irfan Shamsuddin dan atlet berbasikal trek para, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin dipilih sebagai penerima Anugerah Khas sempena Anugerah Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia (SAM)-100PLUS 2025.
- Mohd Hazreen berkata kejayaan memerlukan pengorbanan dan kesabaran, serta diharapkan dapat menyemarakkan semangat atlet baharu negara.
- Majlis Anugerah SAM-100PLUS 2025 dijadual di sebuah hotel ibu negara pada Rabu ini dan akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan.
- Muhammad Irfan mencatat emas Sukan SEA Thailand 2025 dengan lontaran 60.23m, memadam rekod temasya 26 tahun milik Singapura.
- Mohamad Yusof menjadi atlet para Malaysia pertama menyarung Jersi Pelangi selepas menang emas MC1 200m di Kejohanan Trek Para Dunia 2025.
Naib Presiden Persatuan Penulis-Penulis Sukan Malaysia merangkap Pengerusi Jawatankuasa Penganjuran Anugerah SAM-100PLUS 2025 Mohd Hazreen Nor Mubarak berkata kejayaan yang dicapai Muhammad Irfan dan Mohamad Yusof tidak hadir dengan mudah.
“SAM berharap dengan pengiktirafan ini, dapat menyemarakkan lagi semangat bukan sahaja Muhammad Irfan dan Mohamad Yusof, tetapi juga permata baharu dalam arena sukan tanah air.
“Kejayaan memerlukan pengorbanan dan kesabaran untuk merealisasikannya,” menurut kenyataan itu hari ini.
Anugerah SAM-100PLUS 2025 dijadualkan berlangsung di sebuah hotel di ibu negara pada Rabu ini dan akan disempurnakan Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari.
Pada majlis itu, turut dipertandingkan Anugerah Atlet Terbaik, Anugerah Atlet Para Terbaik dan Anugerah Persatuan Sukan Dinamik.
Selain mengiktiraf atlet cemerlang yang mengharumkan nama negara sepanjang tahun lepas, majlis berkenaan turut meraikan wartawan sukan yang berpeluang memenangi hadiah wang tunai keseluruhan lebih RM65,000.
Anugerah itu dibahagikan kepada enam kategori iaitu Laporan Berita Terbaik (Media Cetak), Laporan Berita Terbaik (Media Elektronik), Ulasan Berita Terbaik (Media Cetak), Ulasan Berita Terbaik (Media Elektronik), Laporan Khas Terbaik (Terbuka), Fotografi Sukan Terbaik serta Anugerah Pengulas Sukan Popular.
Muhammad Irfan, 30, dipilih susulan kejayaannya dalam kelas tersendiri sekali gus membuktikan kredibiliti sebagai jaguh Asia Tenggara selepas merangkul pingat emas sambil mencipta rekod baharu temasya pada Sukan Sea Thailand 2025.
Beliau berjaya memadam rekod berusia 26 tahun milik Wong Tuck Yim dari Singapura dengan melakukan 60.23 meter mengatasi rekod 59.60 meter yang dilakukan pada edisi 1999 di Brunei,.
Sementara itu, Mohamad Yusof, 28, menjadi atlet para Malaysia pertama menyarung Jersi Pelangi selepas meraih pingat emas acara MC1 200 Meter Flying Sprint di Kejohanan Berbasikal Trek Para Dunia 2025 yang berlangsung di Rio De Janeiro, Brazil.
Mohamad Yusof meneruskan kecemerlangan apabila merangkul pingat perak Sukan Para Asia di Jakarta pada 2018 dalam acara pecut berpasukan C1-5 lelaki serta pencapaian tempat kelima di Sukan Paralimpik 2020 di Tokyo dalam acara ujian masa individu lelaki C1 (lebuh raya).