Bekas pemain ragbi kebangsaan meninggal dunia

Allahyarham Mohamad Khairul Abdillah Ramli

KUALA LUMPUR, 10 Mei – Arena ragbi kehilangan bekas pemain kebangsaan yang menghadiahkan pingat emas buat Malaysia di Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Mohamad Khairul Abdillah Ramli dilaporkan meninggal dunia, hari ini.

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemergian disahkan menerusi kenyataan rasmi Ragbi Malaysia.
  • Allahyarham, 34, dalam perjalanan pulang ke Kelantan dengan bas; ditemui pucat dan tidak sedarkan diri selepas berhenti makan di Merapoh.
  • Ragbi Malaysia menyampaikan takziah dan doa agar rohnya dicucuri rahmat serta keluarga diberi kekuatan dan ketabahan.
  • Jenazah dikebumikan di Tanah Perkuburan Masjid Kg. Gua, Kuala Krai selepas solat Isyak.

Berita pemergian Allahyarham yang dikenali sebagai Myko disahkan menerusi kenyataan rasmi Ragbi Malaysia (MR).

Difahamkan, Allahyarham yang ketika itu berusia 34 tahun sedang dalam perjalanan pulang ke Kelantan dengan menaiki bas ekspres di sebelah pagi.

Dalam kejadian itu, bas tersebut berhenti untuk makan di Merapoh, Pahang sebelum pemandu mendapati Myko berada dalam keadaan pucat dan tidak sedarkan diri.

“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat, diampunkan segala dosa serta ditempatkan dalam kalangan orang-orang yang beriman dan beramal soleh.

“Salam takziah buat seluruh ahli keluarga serta sahabat handai Allahyarham. Semoga diberikan kekuatan dan ketabahan menghadapi ujian ini,” menuirut Ragbi Malaysia dalam satu kenyataan.

Jenazah Allahyarham Mohamad Khairul Abdillah dikebumikan di tanah perkuburan Masjid Kg. Gua, Kuala Krai, Kelantan selepas Isyak.

Allahyarham juga merupakan pemain yang berada dalam skuad Piala Agong Kelantan 2026.

Sebelum ini, Myko sempat beraksi dalam perlawanan terakhir semalam ketika menentang juara bertahan, Polis Diraja Malaysia (PDRM) 26-24 dalam aksi pembukaan di Padang B, Universiti Putra Malaysia (UPM).