
SHAH ALAM, 10 Mei – Program Jelajah Larian Obor sempena Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 bermula secara rasmi hari ini di Dataran Kemerdekaan di sini dengan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pembuka program.
- Jelajah larian simbolik sambutan Selangor sebagai tuan rumah SUKMA 2026 yang dijadual berlangsung pada Ogos.
- Program dilaksanakan kerjasama 12 PBT bagi mengurangkan beban kos sekretariat negeri.
- Jelajah melibatkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang, menonjolkan semangat kebersamaan.
Exco Belia, Sukan dan Keusahawanan Selangor, Mohd Najwan Halimi berkata, program itu menjadi simbolik sambutan Selangor sebagai tuan rumah SUKMA 2026 yang bakal berlangsung Ogos ini.
Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana SUKMA ke-22 dan Para SUKMA Selangor 2026 berkata, larian berkenaan bagi mempromosikan temasya sukan dwitahunan itu.

Menurut Mohd Najwan, jelajah dijalankan secara kerjasama dengan 12 Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) Selangor bagi mengurangkan beban kos sekretariat negeri.
“Kita mahu pastikan jelajah di setiap PBT ini akan melibatkan seluruh lapisan masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.
“SUKMA ini semangatnya adalah kebersamaan. Kita nak libatkan semua dan ini adalah satu acara peringkat negeri dan kebangsaan. Negeri Selangor sangat-sangat berbangga
kerana telah diberi penghormatan selaku tuan rumah tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Program Larian Obor SUKMA ke-22 dan Para SUKMA (Sukan Para Malaysia) Selangor 2026.

Siri jelajah larian akan diteruskan ke beberapa lokasi termasuk Klang (24 Mei), Kuala Selangor (6 Jun), Sabak Bernam (13 Jun) dan Hulu Selangor (21 Jun).
Jelajah turut melibatkan Selayang, Ampang Jaya, Kajang, Subang Jaya, Petaling Jaya, Kuala Langat sebelum berakhir di Sepang pada 9 Ogos depan.