
SERDANG, 10 Mei – Persekutuan Besbol Malaysia (BFM) terus komited memperkukuh skuad kebangsaan menerusi usaha pencarian bakat baharu meskipun sambutan dan komitmen diterima setakat ini masih belum memuaskan.
- Sesi saringan dan jelajah negeri dijalankan untuk mengenal pasti pemain berpotensi bagi pasukan lelaki dan wanita negara.
- Pasukan lelaki dijadual ke Kejohanan East Asia Cup Oktober; pasukan wanita masih meneliti kejohanan sesuai untuk meningkatkan ranking dunia.
- BFM merancang melancarkan liga pembangunan akar umbi bermula Jun untuk kategori bawah 10 dan bawah 15 bersama JRBA.
Presidennya, Sazali Husain berkata sesi saringan yang dijalankan ketika ini bertujuan mengenal pasti pemain berpotensi untuk diserap ke dalam pasukan lelaki dan wanita negara.
“Kita akan melakukan jelajah di beberapa negeri untuk mengenal pasti dan memkukuhkan pasukan baseball lelaki dan wanita negara.
Pasukan lelaki negara dijadual menyertai kejohanan East Asia Cup di Filipina pada Oktober depan, manakala pasukan wanita masih meneliti kejohanan yang bersesuaian bagi meningkatkan ranking dunia,” katanya ketika ditemui pada sesi pemilihan dan pencarian bakat baharu bagi atlet skuad kebangsaan di padang BFM, Universiti Putra Malaysia (UPM) di sini hari ini.

Sazali berkata, pihaknya masih belum menetapkan sasaran bagi kejohanan terdekat memandangkan ramai pemain baharu masih memerlukan banyak penambahbaikan.
Beliau berkata, jurang antara pemain senior berpengalaman dan bakat baharu juga masih besar serta memerlukan usaha berterusan untuk dirapatkan.
Dalam pada itu, BFM turut merancang melancarkan liga pembangunan akar umbi bermula Jun ini melibatkan kategori bawah 10 tahun dan bawah 15 tahun.
Menurut beliau, inisiatif itu dilaksanakan menerusi kerjasama dengan Japan Rubber Baseball Association (JRBA) bagi menarik minat lebih ramai kanak-kanak menyertai sukan besbol sejak usia muda.