
RIYADH, 10 Mei – Juara empat kali, Jepun diundi bersama penyandang juara Qatar dalam Kumpulan F Piala Asia 2027 yang dijadualkan berlangsung dari 7 Januari hingga 5 Februari tahun depan.
- Tuan rumah Arab Saudi diundi bersama Kuwait, Oman dan Palestin dalam Kumpulan A.
- Arab Saudi julung kali menjadi penganjur Piala Asia, dianggap persiapan menjelang Piala Dunia 2034.
- Kejuaraan akan disertai 24 pasukan; satu tempat ditentukan melalui playoff Lubnan menentang Yemen pada 4 Jun.
- Perlawanan pembukaan mempertemukan Arab Saudi dan Palestin di King Fahd Sports City, kapasiti stadium 72,000.
Turut diundi dalam kumpulan sama adalah pasukan Thailand dan Indonesia.
Majlis undian rasmi kejohanan itu yang berlangsung di sini pada Sabtu, turut menyaksikan tuan rumah Arab Saudi bakal berdepan Kuwait, Oman dan Palestin dalam Kumpulan A.
Piala Asia 2027 menjadi edisi pertama dianjurkan Arab Saudi yang turut melihat kejohanan itu sebagai persiapan menjelang penganjuran Piala Dunia 2034.

“Kami mempunyai kelebihan bermain di laman sendiri. Tekanan itu ada, tetapi kami akan mengendalikannya dengan pengalaman yang dimiliki,” kata ketua jurulatih Arab Saudi, Giorgos Donis.
Buat kali ketiga berturut-turut, kejohanan itu akan disertai 24 pasukan kebangsaan dengan 23 slot sudah disahkan.
Satu lagi tempat akan ditentukan menerusi aksi playoff antara Lubnan dan Yemen di Doha pada 4 Jun depan, dengan keputusan seri sudah memadai buat Lubnan untuk layak.
Jepun merupakan pasukan paling berjaya dalam sejarah Piala Asia dengan kali terakhir menjulang trofi itu ialah pada 2011.
Arab Saudi dan Iran pula masing-masing memiliki tiga gelaran, manakala Qatar muncul juara dalam dua edisi terakhir pada 2019 dan 2023.
Pada edisi lalu, Qatar menewaskan Jordan 3-1 dalam aksi final selepas negara itu turut menjadi tuan rumah Piala Dunia FIFA 2022.
Jordan pula mencipta sejarah apabila layak ke pentas dunia buat kali pertama tahun ini.
Perlawanan pembukaan kejohanan bakal menemukan Arab Saudi dan Palestin di stadium King Fahd Sports City yang dinaik taraf semula dan memiliki kapasiti 72,000 penonton. – AFP

Pembahagian Kumpulan Piala Asia 2027:
Kumpulan A
Arab Saudi, Kuwait, Oman, Palestin
Kumpulan B
Uzbekistan, Bahrain, Korea Utara, Jordan
Kumpulan C
Iran, Syria, Kyrgyzstan, China
Kumpulan D
Australia, Tajikistan, Iraq, Singapura
Kumpulan E
Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu, Vietnam, Lubnan/Yemen
Kumpulan F
Jepun, Qatar, Thailand, Indonesia