SUKMA 2026: Selangor gugur rancangan perasmian di SIC

Selangor ubah pelan SUKMA 2026, perasmian tidak lagi di SIC/Foto BERNAMA

SHAH ALAM, 10 Mei Kerajaan Selangor akan menganjurkan Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026 secara lebih sederhana dan berhemah selaras titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang menekankan keutamaan kepada kawalan perbelanjaan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Majlis perasmian SUKMA 2026 tidak lagi diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) seperti dirancang.
  • Langkah penjimatan termasuk pengurangan kos, pengoptimuman acara teknikal dan pengecilan jumlah sukarelawan kepada sekitar 3,000 hingga 5,000.
  • Penganjuran SUKMA 2026 dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri; tiada peruntukan tambahan daripada Kerajaan Persekutuan.

Menurut EXCO Belia dan Sukan Selangor, Mohd Najwan Halimi, berikutan keputusan itu, majlis perasmian SUKMA Selangor 2026 tidak lagi akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) seperti dirancang sebelum ini.

“Lokasi baharu bagi majlis perasmian dan penutup masih dalam penelitian bersama jawatankuasa pelaksana sebelum diumumkan kemudian selepas mendapatkan maklum balas daripada jabatan serta agensi berkaitan.

“Kita mengambil keputusan untuk tidak mengadakan perasmian di SIC sebagai menyahut titah Tuanku untuk mengawal perbelanjaan. Majlis akan dilaksanakan pada skala lebih kecil, sederhana dan tanpa elemen kemewahan seperti bunga api dan sebagainya,” katanya kepada media selepas menyempurnakan Larian Obor sempena SUKMA dan Para SUKMA Selangor 2026 peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam di Dataran Kemerdekaan, disini.

Dalam pada itu, Najwan berkata langkah penjimatan turut melibatkan pengurangan kos program, pengoptimuman acara teknikal serta pengurangan jumlah sukarelawan.

Sebelum ini, sasaran hampir 30,000 sukarelawan kini dikurangkan kepada sekitar 3,000 hingga 5,000 orang sahaja.

Beliau turut memaklumkan bahawa setakat ini penganjuran SUKMA 2026 dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan negeri memandangkan tiada peruntukan tambahan diterima daripada Kerajaan Persekutuan.

Lokasi baharu majlis perasmian dan penutup temasya itu dijangka diumumkan selepas mesyuarat jawatankuasa pelaksana dalam masa terdekat.