
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 Mei – Gabriel Peres muncul wira Sabah FC apabila menyempurnakan sepakan penalti di hujung permainan untuk memastikan pasukannya membawa pulang tiga mata dengan kemenangan 1-0 ke atas DPMM FC pada aksi Liga Super di Stadium Negara Hassanal Bolkiah, semalam.
- DPMM terpaksa bermain dengan 10 pemain sejak minit ke-16 selepas Ramadhan Sananta dilayangkan kad merah kerana mengangkat kaki tinggi mengenai Darren Lok.
- Gol Jordan Murray pada minit ke-80 dibatalkan kerana ofsaid.
- Sabah diperoleh sepakan penalti pada masa kecederaan susulan kekasaran Yura Indera Putera ke atas Farhan Roslan; kedua pasukan berkongsi 23 mata.
Dalam perlawanan itu, pasukan tuan rumah berdepan detik malang selepas terpaksa beraksi dengan 10 pemain ketika perlawanan memasuki minit ke-16.
Penyerang DPMM, Ramadhan Sananta dilayangkan kad merah susulan didapati mengangkat kaki tinggi dan terkena muka penyerang Sabah, Darren Lok ketika perebutan bola tinggi.
Beraksi dengan kekurangan pemain, tuan rumah tetap berjaya mempertahankan kubu mereka daripada dibolosi sepanjang babak pertama.

Sabah pula dilihat sukar untuk mencipta jaringan walaupun banyak melakukan asakan ke kubu DPMM.
Malah, pelawat turut bernasib baik apabila jaringan yang dihasilkan penyerang DPMM, Jordan Murray pada minit ke-80 dibatalkan kerana ofsaid.
Sabah mendapat peluang keemasan pada masa kecederaan sebelum perlawanan tamat apabila diberikan sepakan penalti susulan kekasaran Yura Indera Putera ke atas Farhan Roslan.

Peluang itu tidak disia-siakan Peres untuk meledak gol kemenangan buat Sabah.
Keputusan itu menyaksikan Sabah berada di kedudukan kelapan, berkongsi 23 mata bersama DPMM yang menghuni tangga ke sembilan liga.