
PUTRAJAYA, 28 September – Keluarga Allahyarham Tun Dr Siti Hasmah Mohd Ali berkongsi kenangan terakhir bersama tokoh wanita itu sebelum jenazahnya disemadikan hari ini, selepas berada di sisi Allahyarham di Institut Jantung Negara (IJN) sejak malam sebelumnya.
- Pertemuan terakhir meninggalkan kesan mendalam; beliau ceria dan menyatakan dia sudah bersedia meninggalkan keluarga.
- Keluarga berkongsi banyak kenangan melalui pertemuan keluarga kerap dalam beberapa bulan, minggu dan hari kebelakangan ini.
- Keluarga menghargai bantuan ATM, PDRM dan agensi kerajaan; majlis tahlil diadakan di kediaman selepas solat Isyak dan diteruskan esok.
Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pertemuan terakhir bersama ibunya itu meninggalkan kesan mendalam, terutama apabila Allahyarham memaklumkan bahawa beliau sudah bersedia untuk meninggalkan keluarga.
“Waktu itu beliau sudah pun berada di IJN kerana sakit yang lain sebenarnya. Tetapi keadaannya sangat ceria. Walaupun begitu, dia ada beritahu saya yang dia dah bersedia untuk meninggalkan kita semua,” katanya.
Tan Sri Mokhzani Mahathir pula berkata, keluarga masih terkesan dengan pemergian Allahyarham yang berlaku pagi tadi selepas perubahan ketara pada keadaan kesihatannya.
Menurutnya, keluarga mempunyai banyak kenangan bersama Allahyarham, termasuk pertemuan keluarga yang sering diadakan dalam beberapa bulan, minggu dan hari kebelakangan ini.
“Bukan hanya satu kenangan terakhir, tetapi begitu banyak kenangan. Saya sangat gembira kerana kami mempunyai banyak masa untuk diluangkan bersama beliau.
“Kami juga banyak mengadakan pertemuan keluarga dalam beberapa bulan, minggu dan hari kebelakangan ini. Jadi, memang banyak kenangan yang kami kongsi bersama,” katanya.
Beliau berkata, suasana ketika ahli keluarga berada bersama Allahyarham di IJN malam sebelumnya masih ceria dan mesra sebelum keadaan kesihatannya berubah pada pagi tadi.
Dalam pada itu, Mukhriz menyifatkan usia 100 tahun yang dicapai Allahyarham sebagai satu anugerah yang amat bermakna, bukan sahaja kepada keluarga malah kepada negara.
Keluarga Allahyarham turut menzahirkan penghargaan kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta agensi kerajaan yang membantu menguruskan perjalanan jenazah dari IJN ke kediaman keluarga sebelum dibawa ke tanah perkuburan.
Majlis tahlil untuk Allahyarham diadakan di kediaman keluarga selepas solat Isyak malam ini dan dijangka diteruskan pada hari berikutnya.