fb fb fb fb fb

'Keep Malaysia Clean' tingkatkan kesedaran, jadikan negara bebas rasuah

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki / BERNAMA

PUTRAJAYA, 10 September - Program "Keep Malaysia Clean" atau KMC akan dilancarkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) pada 1 Oktober ini.

Pelancarannya bersempena dengan ulang tahun penubuhan badan bebas itu yang ke-58 tahun.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata KMC bertujuan meningkatkan kesedaran dan pendidikan awam mengenai kepentingan menjadikan Malaysia sebagai negara bebas rasuah.

Ianya selaras dengan hasrat kerajaan untuk memperkukuh integriti rakyat serta mempertingkatkan tadbir urus negara.

"KMC ataupun Keep Malaysia Clean merupakan blueprint yang merupakan program yang akan dijalankan selama 15 bulan.

"Ia adalah satu aspirasi untuk melihat kepada pendekatan baru iaitu blueprint untuk menerapkan nilai-nilai bersih tanggungjawab sivik dan juga integriti institusi di semua sektor kehidupan di malaysia.

"Bermakna di sektor public office ataupun di pejabat awam di private sector (sektor swasta), dalam kalangan komuniti, pelajar dan penduduk," katanya.

Beliau berkata demikian semasa sidang Wawancara Khas bersempena Ulang Tahun SPRM ke -58 di sini.

Menurut Azam, pelaksanaan program KMC merupakan usaha sama dengan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, serta Kementerian Pendidikan.

"Program itu akan dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim," katanya.

Dalam perkembangan lain Azam memaklumkan SPRM akan menjadi tuan rumah Mesyuarat ke-21 ASEAN Parties Against Corruption atau ASEAN-PAC pada 28 hingga 30 Oktober depan, di ibu negara.

Bertemakan Strengthening ASEAN Unity: Public-Private Partnership to Combat Corruption yang menekankan kerjasama pintar sektor awam dan swasta dalam memerangi rasuah di rantau ini.

ASEAN-PAC bakal dihadiri ketua agensi pencegahan rasuah dari 10 negara ASEAN dan Timor Leste sebagai pemerhati serta beberapa organisasi antarabangsa.

MOHAMAD KHAIRIE KHALID