fb fb fb fb fb

Kaunter ujian saringan RT-PCR di pintu masuk udara negara ditutup April ini

KUALA LUMPUR, 19 Mac- Kaunter ujian saringan RT-PCR di pintu masuk udara negara akan ditutup bermula 1 April depan.

Ia selaras pembukaan semula sempadan negara memasuki fasa peralihan endemik.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menegaskan pengembara kini boleh melakukan ujian RTK Antigen profesional dalam tempoh 24 jam selepas mendarat.

Ujian boleh dilakukan sama ada di fasiliti swasta di lapangan terbang atau di luar, atas kos sendiri.

"Kementerian Kesihatan Malaysia akan menutup kaunter ujian saringan RT-PCR yang telah kita kendalikan selama 2 tahun lebih yang kita bagi secara percuma kepada rakyat Malaysia."

"Tiada lagi kaunter saringan PCR, selepas ni pengembara Malaysia atau mana-mana pengembara yang nak masuk ke Malaysia mesti melaksanakan ujian RTK Antigen Profesional atas kos sendiri," kata Khairy pada sidang media di KLIA yang turut dihadiri Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Wee Ka Siong.

Bermula 1 April juga, selain ujian RTK Antigen profesional, pengembara juga boleh memilih melakukan kaedah baharu ujian nafas yang diiktiraf KKM.

Setakat ini ujian tersebut hanya ditawarkan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).


(Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong dalam sidang media hari ini di KLIA)

Dalam pada itu, pengembara yang akan memasuki sempadan negara menggunakan jalan udara akan diwajibkan untuk memuat turun aplikasi MySejahtera sebelum berlepas.

Langkah tersebut sebahagian protokol baharu mempercekap urusan ketibaan di lapangan terbang.

Jelas Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir. Wee Ka Siong, pihaknya menerusi Pihak Berkuasa Penerbangan Awam (CAAM) akan mengarahkan syarikat penerbangan untuk menguatkuasakan prasyarat tersebut.

"Kita perlu mengarahkan kepada semua syarikat penerbangan yang nak terbang masuk ke Malaysia untuk memaklumkan kepada semua penumpang sebagai pra-syarat, mereka kena muat turun aplikasi MySejahtera dahulu supaya mereka tak perlu beratur di KLIA untuk muat turun aplikasi itu," kata Wee Ka Siong ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan persediaan lapangan terbang menjelang pembukaan sempadan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) yang turut dihadiri Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Dalam pada itu, Datuk Seri Ir. Wee turut memaklumkan, seramai 277,800 pengembara telah memasuki negara melalui program Laluan Perjalanan Vaksin (VTL) setakat ini.

Media Baharu