Jenazah Allahyarham Datuk Kamil Misuari selamat dikebumikan

Jenazah Allahyarham Datuk Kamil Misuari suami Datuk Seri Nancy Shukri selamat dikebumikan kira-kira pukul 5 petang tadi./ RTM

KUCHING, 19 Jun – Jenazah suami Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Nancy Shukri, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Samariang, Kuching, kira-kira pukul 5 petang tadi.

RINGKASAN BERITA AI
  • Lebih 200 orang mengiringi jenazah Allahyarham ke tanah perkuburan, menunjukkan penghormatan dan sokongan keluarga serta masyarakat.
  • Pemimpin negeri termasuk Yang di-Pertua Negeri, Premier dan Timbalan Premier hadir memberi penghormatan terakhir.
  • Allahyarham mangkat di Hospital Ampang pada usia 65 tahun; jenazah diterbangkan dari KLIA ke Kuching.

Selesai pengebumian, talkin dibacakan oleh Imam Besar Negeri Sarawak, Datuk Mustapha Kamal Ahmad Fauzi.

Sebelum itu, lebih 200 orang hadir mengiringi jenazah Allahyarham Datuk Kamil Misuari ke tanah perkuburan itu.

Terdahulu, suasana hiba menyelubungi kediaman Menteri KPWKM itu di Kuching, dipenuhi sanak saudara selain pemimpin-pemimpin tempatan yang hadir memberi penghormatan terakhir ke atas Allahyarham suaminya.

Yang di-Pertua Negeri Sarawak Tun Dr. Wan Junaidi Tuanku Jaafar dan isteri Toh Puan Fauziah Mohd Sanusi, Premier Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Timbalan Premier Datuk Amar Douglas Uggah Embas serta Timbalan Premier Datuk Dr Sim Kui Hian, turut hadir memberi penghormatan terakhir.

Allahyarham Datuk Kamil, menghembuskan nafas terakhir, lewat petang semalam di Hospital Ampang, di ibu negara pada usia 65 tahun.

Jenazah Allahyarham diterbangkan dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching tengah hari tadi.

Allahyarham Datuk Kamil berkahwin dengan Datuk Seri Nancy pada tahun 1985 dan dikurniakan tiga orang anak Faeroz, Farouk dan Bibi Freka.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.