Nahas empat kenderaan: Dua pelajar lelaki maut pulang dari sekolah

Dua pelajar maut motosikal bertembung dengan kereta ketika pulang dari sekolah / Foto RTM

LANGKAWI, 23 September – Dua pelajar lelaki berusia di bawah 16 tahun maut dalam kemalangan jalan raya membabitkan sebuah motosikal dan tiga kereta di Jalan Nyior Chabang, di sini, semalam.

RINGKASAN BERITA AI
  • Motosikal cuba memotong dua kenderaan sehala lalu memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan.
  • Akibat perlanggaran kuat, penunggang alami kecederaan parah di kepala dan badan dan disahkan meninggal di lokasi.
  • Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987; polis minta saksi atau rakaman dashcam tampil bantu siasatan.

Kejadian berlaku kira-kira 1.51 tengah hari ketika kedua-dua mangsa dalam perjalanan pulang dari sekolah dari arah Simpang Kenyum menuju ke Jalan Nyior Chabang.

Ketua Polis Daerah Langkawi, ACP Khairul Azhar Nuruddin berkata, siasatan awal mendapati motosikal yang dinaiki kedua-dua mangsa cuba memotong dua kenderaan yang bergerak sehala.

“Motosikal itu kemudian memasuki laluan bertentangan sebelum bertembung dengan kenderaan dari arah bertentangan,” katanya.

Akibat perlanggaran kuat, kedua-dua mangsa mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sebelum disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian.

Tiga pemandu kereta yang terlibat tidak mengalami sebarang kecederaan.

Mayat kedua-dua mangsa dibawa ke Unit Forensik Hospital Sultanah Maliha untuk proses bedah siasat sebelum diserahkan kepada keluarga bagi urusan pengebumian.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis turut meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian atau mempunyai rakaman kamera papan pemuka (dashcam) di kawasan sekitar supaya tampil ke balai polis berhampiran bagi membantu siasatan.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.