
PUTRAJAYA, 19 Jun – Kementerian Kesihatan (KKM) kini pada peringkat akhir menyelesaikan beberapa kekangan termasuk halangan birokrasi yang didakwa boleh menjejaskan laluan latihan dan pembangunan bagi melahirkan pakar perubatan.
- KKM mengiktiraf tempoh Pengalaman Kerja Terselia enam bulan sebagai sebahagian daripada tempoh latihan subkepakaran.
- Sebelum ini tempoh SWE selepas pensijilan pakar tidak dikira dalam laluan latihan subkepakaran.
- Kementerian melaksanakan penyesuaian sementara untuk menangani kelemahan sistem dan halangan birokrasi yang menjejaskan laluan latihan.
- Perancangan tenaga kerja dibuat secara berfasa dan diselaraskan dengan keperluan fasiliti serta perkembangan infrastruktur kesihatan.
Menterinya, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata kelemahan dalam sistem sedia ada diteliti dan sudah melaksanakan beberapa penyesuaian sementara.
Antara langkah diambil ialah mengiktiraf tempoh Pengalaman Kerja Terselia (SWE) selama kira-kira enam bulan sebagai sebahagian daripada tempoh latihan bagi doktor yang mengikuti subkepakaran.
Sebelum ini, tempoh pengalaman kerja diselia yang dijalani doktor selepas menjadi pakar tidak diambil kira dalam laluan berkenaan.
“Jika ada ‘bottleneck’ atau kekangan, kita pasti mahu mengatasinya. Dahulu, tempoh SWE selama enam bulan itu tidak diambil kira.
“Kali ini, kita sudah mengambilnya sebagai sebahagian daripada tempoh untuk mereka mendapatkan subkepakaran,” katanya.
Datuk Seri Dr Dzulkefly mengulas kenyataan Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang mendakwa Malaysia berisiko kehilangan lebih ramai doktor pakar susulan syarat baharu KKM menerusi Laporan Nilaian Prestasi Tahunan bagi pengambilan sesi 2026/2027.
Tambahnya, penambahan pakar perlu dilaksanakan secara berfasa dan berterusan mengikut keperluan semasa serta perkembangan kemudahan infrastruktur kesihatan.
“Perancangan tenaga kerja itu diselaraskan dengan keperluan fasiliti bagi mengisi kekurangan pakar yang masih berlaku dalam sistem kesihatan,” katanya pada sidang media Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) Pembinaan Klinik Kesihatan Bakun-Murum antara KKM dan Sarawak Energy Berhad di sini.