GAVIS 2026 perkukuh keterjaminan makanan negara


Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron (tengah) bergambar selepas sidang media penganjuran GAVIS 2026 di sini, hari ini. / Foto RTM

PUTRAJAYA, 19 Jun – Sidang Kemuncak Global Veterinar dan Industri 2026 (GAVIS 2026) dijangka memperkukuh keterjaminan makanan negara dengan menghimpunkan pemain utama rantaian industri veterinar dan penternakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Platform membolehkan ahli veterinar, saintis dan penyelidik mencari penyelesaian terhadap cabaran semasa sektor veterinar dan penternakan.
  • Program penting untuk bertukar pengalaman, berkongsi ilmu serta memperluas rangkaian kerjasama antara pihak berkepentingan.
  • Perbincangan fokus pada menangani cabaran semasa, termasuk kesan krisis tenaga global dan merancakkan pembangunan industri haiwan negara.

Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Datuk Dr Mohd Noor Hisham Mohd Haron berkata platform itu membolehkan ahli veterinar, saintis haiwan, penyelidik dan penggiat industri mencari penyelesaian terhadap cabaran semasa yang dihadapi sektor berkenaan.

“Program ini amat penting kerana menghimpunkan pelbagai pihak untuk bertukar pengalaman, berkongsi ilmu serta memperluas rangkaian kerjasama.

“Melalui kerjasama ini, industri veterinar dan penternakan negara dapat terus berkembang serta memberi manfaat kepada semua pihak yang terbabit,” katanya pada sidang media penganjuran GAVIS 2026 di sini, hari ini.

Beliau berkata, penyertaan pemilik dan pekerja industri penternakan, pembekal produk serta perubatan veterinar, pengimport dan pengeksport dijangka membentuk sinergi lebih kukuh dalam rantaian bekalan makanan negara.

Antara fokus perbincangan ialah usaha menangani cabaran semasa, termasuk kesan krisis tenaga global, selain merancakkan pembangunan industri haiwan negara.

Bertemakan “One Voice, One Health, One Future”, GAVIS 2026 dijangka menghimpunkan lebih 1,200 peserta dari dalam dan luar negara di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) dari 21 hingga 23 Julai depan.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dijangka menyampaikan amanat kepada komuniti veterinar serta industri makanan ternakan negara pada Majlis Makan Malam Gala Veterinar.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.