
KAZAN, 19 Jun – Lawatan kerja Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ke Kazan berjaya memperluas kerjasama Malaysia dengan Rusia dalam sektor tenaga, perdagangan, pelaburan, teknologi dan industri halal.
- Perbincangan bersama Putin mengenai komitmen jangka panjang bekalan tenaga, kerjasama dalam AI, ekonomi digital, keselamatan siber, pertanian dan farmaseutikal
- Perbincangan dengan Rais Tatarstan mengenai kerjasama perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan, industri halal serta sektor hiliran dan petrokimia
- Menyokong Program Strategik ASEAN–Russia 2026–2035 dan menegaskan pendirian ASEAN bagi perdagangan terbuka, adil dan berasaskan peraturan
Menerusi hantaran di Facebook, Datuk Seri Anwar berkata, setiap ruang dan peluang di pentas antarabangsa diteroka dan dimanfaatkan sepenuhnya demi memastikan manfaat ekonomi kembali kepada rakyat Malaysia.
Jelas beliau, misi itu diisi dengan beberapa siri perbincangan strategik yang penting kepada negara.
“Misi itu bermula dengan pertemuan bersama Rais Tatarstan Rustam Minnikhanov, disusuli penyertaan dalam Forum Perniagaan Rusia-ASEAN dan pertemuan empat mata dengan Presiden Vladimir Putin,” katanya.
Dalam pertemuan bersama Putin, kedua-dua pemimpin membincangkan kerjasama strategik dua hala meliputi komitmen jangka panjang dalam keterjaminan bekalan tenaga termasuk minyak.
“Perbincangan turut merangkumi penerokaan kerjasama dalam kecerdasan buatan, ekonomi digital, keselamatan siber, pertanian moden dan farmaseutikal.
“Kedua-dua negara juga membincangkan pemansuhan visa serta usaha memperluas perdagangan menggunakan mata wang tempatan, iaitu ringgit dan ruble,” menurut hantaran tersebut.
Selain itu, Datuk Seri Anwar turut menyatakan sokongan terhadap pendirian konsisten Rusia berhubung isu Gaza dan Iran.
Dalam pertemuan bersama Rustam pula, kedua-dua pihak meneroka kerjasama dalam perdagangan, pelaburan, pendidikan, pelancongan dan industri halal.
“Kerjasama dalam sektor hiliran, penapisan dan petrokimia turut dibincangkan, selain peranan KazanForum dalam memperkukuh inovasi, ekonomi digital dan pelaburan strategik,” menurut hantaran itu.
Pada Forum Perniagaan Rusia-ASEAN, Perdana Menteri mengalu-alukan Program Strategik ASEAN–Rusia mengenai Kerjasama Perdagangan dan Pelaburan 2026–2035.
Beliau turut menegaskan pendirian ASEAN untuk terus mempertahankan sistem perdagangan yang terbuka, adil dan berasaskan peraturan.