
ROME, 23 Oktober – Itali memperkenal hukuman lebih berat terhadap protes ganas termasuk penjara sehingga lima tahun dan denda maksimum 20,000 euro.
- Undang-undang baharu pertingkat hukuman terhadap keganasan semasa demonstrasi, termasuk penjara dan denda lebih tinggi tanpa pengecualian.
- Memperluas kuasa penahanan pencegahan bagi remaja 14-17 tahun dan tanggungjawab kewangan ke atas ibu bapa untuk kerosakan dibuat anak bawah umur.
- Langkah berkuat kuasa serta-merta, perlu kelulusan parlimen dalam 60 hari; tambahan anggota tentera dikerahkan ke Milan untuk kawal keselamatan.
Perdana Menteri Itali, Giorgia Meloni menegaskan, undang-undang baharu yang merangkumi hukuman tersebut diluluskan Majlis Menteri bagi membendung perbuatam keganasan ketika demonstrasi.
“Sekiranya ketika demonstrasi, seseorang menyertai sekumpulan terdiri daripada lima atau lebih dan membaling batu, mercun atau kayu sehingga membahayakan keselamatan awam, boleh dikenakan hukuman penjara sehingga lima tahun serta denda maksimum 20,000 euro.
“Jika seseorang menutup muka atau mencederakan orang lain hukuman akan menjadi lebih berat. Hukuman juga akan ditingkatkan terhadap mereka yang melakukan kemusnahan secara berkumpulan,” jelasnya.
Tambah beliau, ibu bapa juga boleh dipertanggungjawabkan dari segi kewangan atas kerosakan yang dilakukan oleh anak mereka yang masih di bawah umur.
Undang-undang baharu tersebut turut memperluas kuasa penahanan pencegahan terhadap remaja berusia 14 hingga 17 tahun yang dianggap mengancam keselamatan awam, meskipun mereka belum melakukan sebarang kesalahan.
Meloni berkata langkah itu berkuat kuasa serta-merta, namun perlu mendapatkan kelulusan parlimen dalam tempoh 60 hari untuk terus dikuatkuasakan.
“Kita semua melihat rakaman keganasan yang melanda Milan dan bandar-bandar lain di Itali sepanjang hujung minggu lalu. Kedai-kedai dirompak, cermin premis dipecahkan dan anggota penguat kuasa diserang. Ini merupakan kejadian yang tidak boleh diterima dan tidak sepatutnya dipandang ringan atau diberikan sebarang justifikasi.” katanya.
Undang-undang tersebut diperkenal susulan insiden kekacauan selama dua hari di Milan, menyaksikan penunjuk perasaan merompak kedai, memecahkan tingkap serta menyerang anggota polis.
Lebih 270 individu dilaporkan ditahan sepanjang hujung minggu lalu, manakala beberapa anggota polis turut dilaporkan cedera.
Dalam usaha memperketat kawalan keselamatan, kerajaan Itali turut merancang menempatkan tambahan 500 anggota tentera bersama polis di Milan sehingga akhir tahun ini.
Langkah berkenaan dilaksanakan ketika Itali bersiap sedia menghadapi demonstrasi seterusnya, sekali gus mencetuskan perbincangan mengenai keseimbangan antara keselamatan awam, hak berhimpun dan kuasa penguatkuasaan pihak berkuasa.-VIORY