
KUALA LUMPUR, 19 Jun – Citrawarna 2026 akan kembali memeriahkan Dataran Merdeka selama tiga hari bermula 24 Julai ini dengan mengetengahkan kepelbagaian tradisi, seni dan warisan tempatan sempena kempen Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2026.
- Tema acara "Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa" bersama empat komponen utama.
- Citra Perarakan gabungkan muzik, tarian dan penceritaan oleh kontinjen dari seluruh negara.
- Citra Rasa, Citra Budaya dan Citra Seni tampilkan kulinari tradisional, persembahan budaya, kraf tangan dan demonstrasi seni.
- Acara dijangka meningkatkan kehadiran pelawat serta membuka peluang ekonomi untuk hotel dan peniaga tempatan.
Bertemakan “Ritma Warisan, Nadi Nusa dan Bangsa”, pengunjung akan disajikan empat komponen utama termasuk Citra Perarakan, Citra Rasa, Citra Budaya dan Citra Seni.
Tourism Malaysia dalam kenyataannya memaklumkan, Citra Perarakan akan menampilkan gabungan muzik, tarian dan penceritaan oleh kontinjen dari seluruh Malaysia.
Sementara komponen Citra Rasa meraikan warisan kulinari negara menerusi hidangan tradisional serta pengalaman gastronomi tempatan.
“Citra Budaya pula mengetengahkan persembahan tradisional, aktiviti kemasyarakatan dan ekspresi budaya yang mencerminkan kepelbagaian rakyat Malaysia.
“Citra Seni akan menampilkan kraf tangan tempatan serta demonstrasi seni secara langsung oleh penggiat industri kreatif,” menurut kenyataan itu.
Acara kemuncak, Citra Perarakan, dijadualkan berlangsung pada 25 Julai dengan menghimpunkan penghibur dari seluruh negara dalam persembahan besar berteraskan perpaduan, kreativiti dan identiti kebangsaan.
Sejak diperkenalkan pada 1999, Citrawarna atau Colours of Malaysia menjadi antara platform penting bagi mempromosikan seni, budaya, warisan dan keindahan alam semula jadi negara kepada dunia.
Penganjuran kali ini dijangka meningkatkan kehadiran pelawat tempatan dan antarabangsa, sekali gus membuka peluang ekonomi kepada pengusaha hotel, pengendali pelancongan serta peniaga tempatan.
Tourism Malaysia turut mengalu-alukan penyertaan hotel dan pengusaha penginapan untuk menawarkan kadar bilik istimewa, pakej promosi serta tawaran menarik sepanjang acara berkenaan.