Kampung Pulau dipilih Kampung Angkat MADANI

Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyempurnakan Peluncuran Kampung dan Sekolah Angkat MADANI di sini, hari ini

SEREMBAN, 19 Jun– Kampung Pulau di Labu dipilih sebagai Kampung Angkat MADANI Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM), manakala Sekolah Rendah Tahfiz Al Quran Integrasi Al-Irshad sebagai Sekolah Angkat MADANI.

RINGKASAN BERITA AI
  • Peruntukan RM500,000 disalurkan untuk menaik taraf kemudahan asas kampung.
  • Sekolah menerima RM100,000 untuk meningkatkan kemudahan pendidikan dan prasarana pembelajaran.
  • 16 projek di kampung termasuk dewan serbaguna, gerai jualan, naik taraf balai raya, ICT dan taman permainan.
  • Program MADANI berkembang: 43 kampung (2024), 200 (2025) dan 400 kampung pada tahun ini.

Ketua Pengarah AKM, Datuk Dr. Roslan Hussin berkata, pemilihan itu sekali gus membolehkan pelbagai projek pembangunan dan kemudahan awam dilaksanakan untuk manfaat penduduk setempat.

Beliau memaklumkan, Kampung Pulau menerima peruntukan sebanyak RM500,000 bagi menaik taraf kemudahan asas.

Manakala sekolah berkenaan pula menerima RM100,000 bagi meningkatkan kemudahan pendidikan dan prasarana pembelajaran

“16 projek dikenal pasti di Kampung Pulau, termasuk pembinaan dewan terbuka serbaguna, gerai jualan, kerja menaik taraf balai raya, kemudahan teknologi maklumat dan komunikasi (ICT) serta taman permainan kanak-kanak.

Di sekolah pula, tujuh projek dirancang termasuk membaik pulih surau, pembinaan ruang menunggu ibu bapa dan penambahbaikan kemudahan pembelajaran,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada majlis Peluncuran Kampung dan Sekolah Angkat MADANI di sini, hari ini.

Tambah Datuk Dr. Roslan, sejak diperkenalkan pada 2024, pelaksanaan program itu terus diperluas.

“Pada tahun 2024, program ini melibatkan 43 kampung.

Jumlah itu meningkat kepada 200 kampung pada 2025 dan pada tahun ini pelaksanaannya diperluas kepada 400 kampung di seluruh negara,” katanya.

Sementara itu, Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, program berkenaan telah memberi manfaat besar kepada masyarakat luar bandar.

“Program ini telah berjalan sejak tiga tahun yang lepas dan banyak memberikan manfaat besar.

Perubahan yang berlaku di kampung-kampung terpilih, sama ada di masjid, sekolah, balai raya atau surau, banyak memberi manfaat kepada masyarakat di desa,” katanya.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.