
PUTRAJAYA, 19 Jun – Enam syor penambahbaikan dikemukakan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kepada Jabatan Perumahan Negara (JPN) bagi memperkukuh tadbir urus kewangan dan perolehan di kawasan berstrata.
- Pindaan Akta Pengurusan Strata 2013 untuk meluaskan kuasa siasatan Pesuruhjaya Bangunan terhadap konflik kepentingan dan penyalahgunaan dana.
- Penguatkuasaan melalui pengkompaunan bagi mempercepat tindakan dan meningkatkan pematuhan.
- Garis panduan kewangan dan perolehan diwarta sebagai kewajipan undang-undang atau prosedur yang jelas.
- Pembangunan sistem e-Pelaporan berkala, penstrukturan semula perjawatan dan peningkatan kompetensi melalui latihan berterusan.
SPRM memaklumkan, antara syor tersebut termasuk pindaan terhadap Akta Pengurusan Strata 2013 (Akta 757) bertujuan memperluas kuasa siasatan Pesuruhjaya Bangunan (COB) terhadap konflik kepentingan dan penyalahgunaan dana.
“Turut dicadangkan ialah penguatkuasaan melalui pengkompaunan kesalahan bagi mempercepatkan tindakan dan meningkatkan pematuhan.
“SPRM juga mengesyorkan garis panduan kewangan serta perolehan diwartakan sebagai kewajipan undang-undang atau prosedur yang jelas,” menurut kenyataan itu.
Syor lain membabitkan pembangunan sistem e-Pelaporan seperti Building Maintenance and Strata Management Act (BMSMA) 2004 di Singapura bagi membolehkan pelaporan dilaksanakan secara berkala dan telus, sekali gus mengurangkan risiko manipulasi dokumen.
“Selain itu, penstrukturan semula perjawatan melalui penambahan pegawai dan penetapan nisbah optimum bagi memastikan pemantauan lebih berkesan.
“Kompetensi pegawai turut disaran diperkasakan menerusi latihan berterusan dalam bidang kewangan, audit, perolehan dan penguatkuasaan,” jelas kenyataan itu.
JPN di bawah Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) menyambut baik semua syor berkenaan serta yakin pelaksanaannya mampu meningkatkan ketelusan dan akauntabiliti dalam pengurusan kawasan berstrata.
Pada masa sama, memantapkan amalan tatakelola organisasi ke arah penyampaian perkhidmatan yang lebih berintegriti, cekap dan berkesan.
Syor berkaitan cabaran COB dalam mengawal selia pengurusan kewangan dan perolehan itu disampaikan Timbalan Pengarah II Bahagian Penyiasatan Tatakelola (BPT) SPRM, Ahmad Shukri Mohd Taib, di JPN pada 16 Jun lalu.