BUKIT SELAMBAU, 8 Januari- Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah mengesan aktiviti pelupusan enap cemar yang dihasilkan daripada pembersihan (desludging) sistem pengolahan kumbahan tanpa kebenaran.
Pelupusan enap cemar itu dilakukan di sebuah ladang kelapa sawit di Kampung Sungai Anak Ikan, Mukim Teloi Kiri, dekat Bukit Selambau, Kedah.
Pengarah JAS Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, enap cemar tersebut dilupuskan ke dalam parit berukuran 20 meter panjang dan 1 meter lebar dengan kedalaman 1.5 meter.
Beliau brekata, hasil siasatan mendapati terdapat beberapa buah parit juga telah dikorek disyaki dilakukan untuk tujuan yang sama.
"Siasatan lanjut mendapati tapak pelupusan enap cemar kumbahan tersebut tidak mempunyai sebarang kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Kualiti Alam Sekeliling dan aktiviti tersebut dilakukan oleh kontraktor yang mempunyai permit daripada Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara (SPAN) untuk menyediakan perkhidmatan pembentungan di negeri Kedah," katanya.
Tegas beliau, pelupusan enap cemar di kawasan yang tidak dibenarkan berpotensi menyebabkan pencemaran air dan tanah yang boleh memberi impak negatif terhadap ekosistem alam sekitar dan kesihatan awam.
Katanya, susulan itu satu kertas siasatan telah dibuka dan telah dilengkapkan oleh JAS Kedah yang kemudiannya diserahkan kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan bagi arahan lanjut.
Kes disiasat bawah Peraturan 15, Peraturan-Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Kumbahan) 2009 atas kesalahan membuang atau menyebabkan atau membenarkan pelupusan enap cemar yang dihasilkan daripada mana-mana sistem pengolahan kumbahan ke atas atau ke dalam tanah atau permukaan tanah tanpa kebenaran bertulis daripada Ketua Pengarah Alam Sekitar.
Kesalahan tersebut boleh dihukum mengikut Peraturan 26, peraturan yang sama yang memperuntukkan denda maksimum RM100,000.00 atau penjara tidak melebihi daripada lima tahun atau kedua-duanya.
JAS Kedah juga akan memanjangkan hasil siasatan tersebut kepada pihak-pihak berkuasa lain yang berkaitan untuk tindakan susulan mengikut perundangan mereka ke atas kontraktor berkaitan.
Pihak JAS memberi amaran tegas kepada kontraktor dan pihak yang terlibat dalam aktiviti perkhidmatan pembentungan agar mematuhi segala peraturan dan prosedur yang ditetapkan untuk melindungi alam sekitar.