J-KOM jadi saluran komunikasi kerajaan, pastikan keresahan rakyat diberi perhatian

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM) Mohd Hisyamuddin Ghazali ketika sidang media selepas membuat laporan polis terhadap aktivis Albert Tei di IPD Putrajaya / Foto BERNAMA

PUTRAJAYA, 11 Jun – Kebimbangan yang dibangkitkan masyarakat berhubung isu penempatan haram etnik Rohingya sentiasa diberi perhatian dan perkara itu telah dibawa ke pengetahuan pihak berkuasa serta kementerian berkaitan untuk diambil tindakan.

RINGKASAN BERITA AI
  • J-KOM berfungsi sebagai saluran komunikasi kerajaan, meneliti isu tular dan menyampaikan kebimbangan rakyat kepada pihak berwajib.
  • Jabatan akan ambil tindakan segera termasuk turun padang dan merujuk isu kepada kementerian serta pihak berkuasa tempatan untuk tindakan penguatkuasaan.
  • Kerajaan gesa penguatkuasa bertindak tegas terhadap pelanggaran undang-undang dan sebarang unsur rasuah; SPRM diminta ambil tindakan tanpa kompromi.

Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Mohd Hisyamuddin Ghazali berkata, jabatan itu sebagai saluran komunikasi kerajaan, bertanggungjawab meneliti setiap isu yang menjadi perhatian rakyat, termasuk yang tular di media sosial, bagi memastikan kebimbangan masyarakat dapat disalurkan kepada pihak yang berwajib.

“Apabila rakyat resah, komuniti juga akan resah. Sebab itu setiap isu yang dibangkitkan perlu diberi perhatian dan dibawa kepada pihak yang berkaitan untuk tindakan lanjut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas membuat laporan polis terhadap seorang ahli perniagaan, di sini hari ini.

Beliau yang baru empat hari mengetuai jabatan itu berkata, peranan J-KOM akan menyaksikan tindakan lebih cepat diambil, termasuk turun padang sebaik sahaja isu dibangkitkan oleh rakyat.

Ini dizahirkan dengan tindakan beliau turun padang ke beberapa lokasi perhatian, pada hari pertama dilantik sebagai ketua pengarah, sebaik isu Rohingya tular.

Hasil lawatan dan maklum balas yang diterima telah dibawa kepada perhatian beberapa kementerian, termasuk Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Komunikasi serta pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, tindakan awal turut diambil apabila PBT menjalankan pemeriksaan terhadap struktur yang didakwa dibina oleh warga asing di kawasan berkenaan dan tindakan penguatkuasaan akan dilaksanakan sekiranya didapati melanggar peruntukan undang-undang.

Beliau turut menggesa semua agensi penguat kuasa bertindak tegas terhadap sebarang unsur salah guna kuasa atau rasuah yang boleh menjejaskan usaha kerajaan menangani isu tersebut.

“Sekiranya terdapat unsur rasuah dalam mana-mana urusan berkaitan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu mengambil tindakan tegas tanpa kompromi,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kerajaan memahami kebimbangan rakyat berhubung kebanjiran warga asing yang menjalankan aktiviti ekonomi secara tidak terkawal.

Menurutnya, Perdana Menteri sebelum ini telah memberi penekanan bahawa isu kebanjiran warga asing perlu ditangani secara serius, terancang dan menyeluruh bagi memastikan kepentingan rakyat tempatan terus terpelihara.

Mohd Hisyamuddin berkata, kerajaan kekal komited untuk memastikan setiap tindakan yang diambil dapat mengekalkan ketenteraman awam, keharmonian masyarakat serta melindungi kepentingan rakyat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.