Insiden helikopter terhempas: FDS dalam perjalanan bantu masyarakat pedalaman

Foto BERNAMA

Negara masih dikejutkan dengan insiden sebuah helikopter Perkhidmatan Doktor Udara (FDS) yang terhempas dan terbakar di kawasan Lapangan Terbang Long Lellang, Ulu Baram, Sarawak pada Selasa.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perkhidmatan Doktor Udara penting untuk memberi penjagaan kesihatan kepada masyarakat pedalaman menggunakan helikopter sewa syarikat swasta.
  • Beberapa insiden membabitkan pasukan FDS telah direkodkan sejak perkhidmatan diperkenalkan.
  • 28 Ogos 2025: helikopter FDS buat pendaratan kecemasan di Loji Rawatan Air Lambir akibat cuaca buruk, tiada kecederaan dilaporkan.
  • 26 Oktober 2022: pendaratan cemas di Brinchang; enam cedera, seorang mengalami patah paha.

Seramai empat petugas perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan seorang juruterbang dilapor terlibat dalam nahas yang tular di media sosial itu.

Perkhidmatan FDS merupakan keperluan penting bagi membantu masyarakat pedalaman mendapatkan penjagaan kesihatan oleh KKM dengan penggunaan helikopter sewa khas dari syarikat perkhidmatan helikopter swasta.

Sepanjang tempoh perkhidmatan FDS diperkenalkan, beberapa insiden membabitkan pasukan ini telah direkodkan.

Pada 28 Ogos 2025, helikopter FDS yang membawa seorang pesakit dari Klinik Kesihatan Long Jeeh, Baram, Sarawak, terpaksa melakukan pendaratan kecemasan di Loji Rawatan Air Lambir, akibat cuaca buruk.

Pesawat berkenaan berdepan angin kencang serta hujan lebat ketika dalam penerbangan menuju ke Miri, namun tiada sebarang kecederaan dilaporkan.

Sementara itu pada 26 Oktober 2022, sebuah helikopter FDS Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kinta dilapor melakukan pendaratan cemas di kawasan hutan Brinchang, Cameron Highlands.

Pasukan tersebut ketika itu sedang dalam penerbangan pulang ke pangkalan di Ipoh selepas selesai memberi perkhidmatan kepada penduduk perkampungan orang asli di Gua Musang.

Enam mangsa dilapor cedera dengan seorang darinya mengalami patah pada paha.

Rekod juga menunjukkan sebuah helikopter FDS yang membawa empat petugas KKM terpaksa mendarat cemas di tebing sungai di Penampang pada 25 September 2024.

Dalam kejadian kira-kira pukul 12.00 tengah hari itu, juruterbang segera membuat pendaratan selepas mengesan isyarat amaran dalam sistem pesawat yang ketika itu dalam penerbangan bagi memberi perkhidmatan kesihatan di kawasan terpencil di Sabah.

Bagaimanapun, kru dan penumpang dilaporkan selamat.

 

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.