Malaysia perkukuh kerjasama serantau lindungi kanak-kanak dalam talian

Datuk Seri Fahmi Fadzil/ MCMC

KUALA LUMPUR, 9 September- Malaysia memperkukuh kerjasama dengan pengawal selia serantau dan antarabangsa bagi menangani kemudaratan dalam talian yang merentasi sempadan khususnya dalam usaha melindungi kanak-kanak.

RINGKASAN BERITA AI
  • Perlu penyelarasan pengawalseliaan antara negara untuk bertindak bersama melindungi kanak-kanak dalam persekitaran digital.
  • Platform mesti bertanggungjawab atas keselamatan pengguna; jurang kawal selia tidak wajar membuka ruang eksploitasi.
  • Pengukuhan literasi digital ibu bapa, akauntabiliti platform dan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 penting rentas sempadan.

Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil berkata kerjasama lebih erat antara pengawal selia dan bidang kuasa diperlukan bagi memastikan keselamatan kanak-kanak dalam persekitaran digital yang semakin kompleks.

“Kemudaratan dalam talian tidak terhenti di sempadan negara, begitu juga dengan tindak balas kita. Melalui Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Pengawal Selia (MRRM), kita mahu belajar daripada pengalaman pengawalseliaan yang berbeza, mengenal pasti pendekatan praktikal yang berkesan dan memperkukuh kerjasama untuk melindungi kanak-kanak dalam talian dengan lebih baik,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam kenyataan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sempena MRRM yang dianjurkan Kementerian Komunikasi dan MCMC bersempena M360 ASEAN 2026 hari ini.

Mesyuarat Meja Bulat Menteri-Pengawal Selia yang diadakan hari ini/ MCMC

Mesyuarat itu menghimpunkan pembuat dasar dan pengawal selia dari rantau ini serta rakan pengawal selia antarabangsa termasuk Pesuruhjaya eSafety Australia dan Ofcom United Kingdom, bagi bertukar pengalaman serta pendekatan dalam memperkukuh keselamatan dalam talian dan kepercayaan digital.

Datuk Seri Fahmi berkata kepelbagaian pendekatan pengawalseliaan antara negara merupakan satu kekuatan, namun jurang dalam kawal selia tidak seharusnya membuka ruang kepada eksploitasi.

“Dengan penyelarasan lebih kukuh dalam prinsip kepercayaan digital, jaminan umur dan keselamatan dalam talian, kita lebih berupaya untuk bertindak secara bersama.

“Platform telah membina ruang digital ini, dan mereka perlu bertanggungjawab terhadap keselamatan penggunanya,” katanya.

Menurut MCMC, perbincangan turut menekankan kepentingan pengukuhan literasi digital ibu bapa serta akauntabiliti platform bagi melindungi kanak-kanak daripada risiko dalam talian termasuk jenayah siber, buli siber dan penyalahgunaan data peribadi.

Para perwakilan turut bersetuju bahawa ancaman dalam talian memerlukan penyelesaian rentas sempadan menerusi gabungan kawal selia yang berkesan, sokongan literasi digital ibu bapa dan akauntabiliti platform yang lebih kukuh.

MRRM itu berlandaskan pelaksanaan Akta Keselamatan Dalam Talian 2025 oleh Malaysia serta komitmen serantau menerusi Deklarasi Kuala Lumpur mengenai Penggunaan Platform Media Sosial Secara Selamat dan Bertanggungjawab untuk ASEAN.

Deklarasi berkenaan menggalakkan kerjasama, ketelusan dan perkongsian amalan baik bagi mewujudkan persekitaran digital yang lebih selamat.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.