Inisiatif kerajaan bantu PMKS jamin kelangsungan industri

Presiden PENGILANG, Datuk Seri Dr. Azman Yusoff (tengah)/Foto RTM

KUALA LUMPUR, 22 April – Persatuan Pengilang Dan Industri Perkhidmatan Bumiputera Malaysia (PENGILANG) menyokong usaha kerajaan untuk memastikan kelangsungan operasi perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dalam mendepani persekitaran global yang mencabar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Skim Jaminan Pembiayaan dan kemudahan RM10 bilion BNM meningkatkan akses pembiayaan serta memperkukuh aliran tunai PMKS.
  • Pelonggaran pelaksanaan e-Invois sehingga 31 Disember 2027 memberi ruang penyesuaian operasi kepada kontraktor kecil dan PKS.
  • Cadangan pengecualian duti import, cukai jualan dan pengaktifan VOP serta percepatkan penyaluran bantuan bagi kurangkan beban kos.

Presidennya, Datuk Seri Dr. Azman Yusoff berkata, sokongan meliputi Skim Jaminan Pembiayaan Perniagaan (SJPP) dan kemudahan khas di bawah Bank Negara Malaysia (BNM) berjumlah RM10 bilion akan menambah baik akses kepada pembiayaan, sekali gus memperkukuh aliran tunai PMKS.

Beliau yang juga Presiden Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM) berkata kelonggaran pelaksanaan e-Invois sehingga 12 bulan turut memberi ruang kepada PMKS untuk menyesuaikan operasi dalam ketidaktentuan ekonomi ketika ini.

“Pelaksanaan e-invois memberi kesan besar khususnya kepada kontraktor kecil G1 hingga G4 serta PKS yang berpendapatan RM1 juta hingga RM5 juta.

“Justeru, tempoh peralihan tambahan bagi pelaksanaan e-Invois Fasa 4 sehingga 31 Disember 2027 adalah keputusan yang tepat, lebih-lebih lagi dalam keadaan ketidaktentuan global yang masih berlarutan,” katanya kepada RTM.

Tambahnya, pertimbangan terhadap pengecualian duti import dan cukai jualan bagi pengimportan semula dilihat mampu mengurangkan beban kos serta merancakkan aktiviti perdagangan, sekali gus membantu aliran eksport dan import negara.

Beliau berharap proses penyaluran bantuan dapat disegerakan dan berjalan lancar tanpa kerenah birokrasi, selain menggesa institusi kewangan agar lebih proaktif dan telus dalam menyokong keperluan pembiayaan PMKS.

Pada masa sama, beliau turut mencadangkan agar kerajaan mempertimbangkan semula pengaktifan mekanisme pengiraan perubahan harga (VOP) bagi sektor pembinaan untuk membantu kontraktor menangani lonjakan kos yang mendadak.