Kebakaran belukar dikesan di enam lokasi di Miri

Anggota bomba giat menjalankan operasi pemadaman kebakaran belukar di Lusut Jaya, Taman Tunku Miri.

MIRI, 22 April – Beberapa kebakaran belukar dikesan di enam lokasi sekitar Miri, melibatkan Lusut Jaya, Taman Tunku Miri, South Lake, Permyjaya, Kenyalang Smart City serta kawasan berhampiran lapangan terbang Miri.

RINGKASAN BERITA AI
  • JBPM Zon 6 Miri giat menjalankan operasi pemadaman, memfokus kawalan kebakaran di kawasan luas dan berhampiran penempatan penduduk.
  • Semua jentera BBP Lopeng, Miri Sentral dan Lutong digerakkan ke lokasi untuk menyokong operasi pemadaman.
  • Operasi turut dibantu MOBEMA dan pasukan AFRS; kejadian meningkat sejak akhir Mac akibat cuaca panas berpanjangan.

Ketua Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Zon 6 Miri Ismaidi Ismail berkata pihaknya kini giat menjalankan operasi pemadaman dengan tumpuan kepada usaha mengawal dan memadam kebakaran di kawasan yang agak luas serta berhampiran penempatan penduduk.

Semua jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng, Miri Sentral dan Lutong digerakkan ke lokasi kebakaran.

“Kita yakin bahawa kita akan dapat mengawal kebakaran ini daripada terus merebak ke kawasan yang agak besar disebabkan di sini kita mempunyai sumber air. Saya tengok pili pili bomba ada di sini dan mudah-mudahan dengan keadaan cuaca yang tidak berangin sangat ini harap dapat membantulah,” katanya kepada RTM semasa meninjau operasi pemadaman kebakaran belukar di Lusut Jaya, Taman Tunku Miri.

Operasi memadam kebakaran itu turut mendapat bantuan daripada Miri Open Burning Emergency Mutual Aid (MOBEMA) yang terdiri daripada pemilik tanah dan syarikat swasta.

Anggota Bomba juga bekerjasama dengan pasukan bomba Lapangan Terbang Miri (AFRS) bagi menangani kebakaran di kawasan lapangan terbang dengan keutamaan memastikan keselamatan operasi penerbangan tidak terjejas.

Ismaidi menjelaskan peningkatan kejadian kebakaran belukar di Miri mula dikesan sejak akhir Mac lalu, khususnya di kawasan Senadin dan Kuala Baram, dan ia berlarutan sehingga kini berikutan cuaca panas berpanjangan.