Jalan pintas Muar-Tangkak-Segamat dijangka siap Februari 2027

Foto Facebook Fazli Salleh

JOHOR BAHRU, 22 April – Projek jalan pintas yang menghubungkan Muar, Tangkak dan Segamat dengan kos RM183 juta dijangka siap Februari 2027.

RINGKASAN BERITA AI
  • Kemajuan projek dicatatkan 72.19 peratus setakat Mac 2026.
  • Pembinaan jalan baharu 8.1 km empat lorong, enam persimpangan berlampu dan empat jambatan termasuk rentas Lebuh Raya Utara Selatan.
  • Kerja naik taraf dari Kolej Matrikulasi Tangkak ke Kawasan Perindustrian Tangkak berjalan lancar tanpa isu besar; kerja utama dilaksanakan serentak.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi Johor, Mohamad Fazli Mohamad Salleh berkata projek itu kini mendahului jadual dengan kemajuan 72.19 peratus setakat Mac 2026.

Menurutnya, kerja naik taraf laluan yang menghubungkan Kolej Matrikulasi Tangkak ke Kawasan Perindustrian Tangkak berjalan lancar tanpa sebarang isu besar.

Beliau berkata projek berkenaan melibatkan pembinaan jalan baharu sepanjang 8.1 kilometer dengan empat lorong dua hala.

Ia turut merangkumi enam persimpangan berlampu isyarat serta empat jambatan termasuk merentasi Lebuh Raya Utara-Selatan.

Tambahnya, kemudahan sokongan seperti sistem perparitan, lampu jalan dan pengalihan utiliti turut disediakan.

Beliau memaklumkan kerja utama termasuk pembinaan struktur jambatan, kerja tanah dan turapan jalan kini dilaksanakan secara serentak.