
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Bahasa Melayu berperanan penting dalam membina identiti dan menyatukan masyarakat berbilang kaum, selaras kedudukannya sebagai Bahasa Kebangsaan yang termaktub dalam Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan.
- Bukti epigrafi abad ke-7 menunjukkan tradisi persuratan dan fungsi pentadbiran Bahasa Melayu sejak lebih 1,300 tahun.
- Kegemilangan Melaka abad ke-15 menjadikan Bahasa Melayu bahasa perhubungan perdagangan, kebudayaan dan kesusasteraan.
- Kedatangan Islam mengembangkan penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, agama dan komunikasi melalui tulisan Jawi.
- Kementerian dan Perpustakaan Negara memulihara, mendigitalkan, meneliti dan mempromosi khazanah persuratan untuk diwariskan generasi akan datang.
Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang berkata, sejarah penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan dan pentadbiran di alam Melayu membuktikan peranannya yang melangkaui fungsi komunikasi.
“Bahasa Melayu bukan sekadar warisan sejarah, ia adalah bahasa yang menghubungkan peradaban, membina identiti dan menjadi salah satu asas penyatuan negara bangsa,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Seminar Antarabangsa Melayu Diaspora 2026 anjuran Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Muzium Malaysia, di sini.
Menurut Datuk Aaron, penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa perhubungan dan pentadbiran dapat dikesan sejak abad ketujuh Masihi, termasuk menerusi penemuan Batu Bersurat Kedukan Bukit bertarikh 683 Masihi, Talang Tuwo pada 684 Masihi dan Kota Kapur pada 686 Masihi.
“Bukti-bukti ini menunjukkan bahawa Bahasa Melayu mempunyai tradisi persuratan dan fungsi pentadbiran yang berakar sejak lebih 1,300 tahun lalu,” katanya.
Kegemilangan bahasa itu turut berkembang pada zaman Kesultanan Melayu Melaka pada abad ke-15 apabila Melaka muncul sebagai pusat perdagangan antarabangsa yang mempertemukan pedagang dari pelbagai wilayah.
Beliau berkata, Bahasa Melayu ketika itu berfungsi sebagai bahasa perhubungan, kebudayaan dan kesusasteraan, manakala kedatangan Islam memperluas penggunaannya sebagai bahasa ilmu, agama dan komunikasi, termasuk melalui tulisan Jawi.
Sehubungan itu, Kementerian Perpaduan Negara melalui Perpustakaan Negara Malaysia terus memainkan peranan memelihara warisan persuratan Melayu menerusi pemuliharaan manuskrip, koleksi nadir, bahan bercetak dan sumber digital.
“Usaha pendigitalan koleksi, penyelidikan, penerbitan serta program pengembangan budaya membaca dan ilmu memastikan khazanah persuratan Melayu bukan sahaja tersimpan, tetapi dapat diakses, dipelajari dan diwariskan kepada generasi akan datang,” katanya.
Usaha berkenaan merupakan antara pendekatan untuk memastikan khazanah persuratan Melayu terus dipelihara dan dimanfaatkan oleh generasi akan datang.