Isu penempatan kanak-kanak: JKM tidak terlibat

Berdasarkan rekod JKM, tiada penempatan rasmi kanak-kanak kepada individu berkenaan pada 2020 seperti didakwa

PUTRAJAYA, 22 April – Dakwaan yang tular di media sosial kononnya Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) memohon bantuan untuk penempatan kanak-kanak bawah jagaannya, tidak benar.

RINGKASAN BERITA AI
  • Penjagaan kanak-kanak merupakan pengaturan persendirian antara ibu kandung dan individu terbabit tanpa penglibatan JKM.
  • JKM menerima rujukan pada 29 April 2022 dan menjalankan siasatan serta penilaian mengikut prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak.
  • Mahkamah mengeluarkan perintah bawah Akta Kanak-Kanak memberi penjagaan sehingga umur 18 berdasarkan Surat Akuan Bersumpah dan persetujuan kedua pihak.

JKM menerusi satu kenyataan menafikan dakwaan yang ditularkan oleh seorang individu itu, sambil menegaskan tuduhan berkenaan tidak tepat.

Ia boleh menimbulkan kekeliruan orang awam terhadap fungsi jabatan itu dan prosedur penempatan kanak-kanak bawah undang-undang.

“Berdasarkan rekod JKM, tiada penempatan rasmi kanak-kanak kepada individu berkenaan pada tahun 2020 seperti yang didakwa,” menurut kenyataan itu.

Jelas JKM, penjagaan kanak-kanak tersebut merupakan pengaturan persendirian antara ibu kandung dengan individu terbabit, tanpa penglibatan jabatan tersebut.

JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur hanya menerima rujukan kes berkenaan pada 29 April 2022 bagi tujuan khidmat nasihat berkaitan status penjagaan serta dokumentasi.

Susulan itu, JKM melalui pelindung telah menjalankan siasatan dan penilaian menyeluruh selaras dengan prinsip kepentingan terbaik kanak-kanak serta peruntukan bawah Akta Kanak-Kanak 2001 [Akta 611].

Pada 3 Ogos 2022, Mahkamah bagi Kanak-Kanak telah mengeluarkan perintah bawah perenggan 30(1)(b) dan subseksyen 30(8) Akta 611 kepada individu berkenaan sehingga kanak-kanak tersebut mencapai umur 18 tahun.

Perintah itu menurut JKM dikeluarkan selepas mahkamah mengambil kira Surat Akuan Bersumpah (SD) persetujuan penyerahan kanak-kanak oleh ibu kandung serta persetujuan bersama antara kedua-dua pihak.

Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat sebarang spekulasi atau kenyataan yang boleh menimbulkan salah faham terhadap fungsi jabatan berkenaan serta kesejahteraan kanak-kanak yang terlibat.

“JKM sentiasa memastikan setiap kes yang dirujuk dikendalikan mengikut peruntukan undang-undang yang ditetapkan bagi menjamin kesejahteraan kanak-kanak,” menurut kenyataan itu.