
KUALA LUMPUR, 10 Oktober – Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan komited memastikan peruntukan RM6.92 bilion menerusi Belanjawan 2027 dimanfaatkan secara optimum bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara, meningkatkan pengeluaran domestik serta mengurangkan kebergantungan kepada import.
- Sokongan padi: RM2.62 bilion subsidi, pesawah terima sekitar RM4,300, IPP dinaikkan RM100/ha, IPKP RM300/ha diperluas Sabah dan Sarawak.
- Pembiayaan dan pembangunan: RM1 bilion melalui Agrobank, Bank Rakyat, Koperasi; RM300 juta untuk Program Pemerkasaan Agromakanan Negara.
- Langkah untuk pengguna dan nelayan: 5,000 Jualan Agro MADANI harga hingga 30% lebih rendah, SARA diperluas, subsidi diesel nelayan RM1.65/l dan elaun.
Menurut Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, dalam kenyataan hari ini, peruntukan itu akan dimanfaatkan selaras dengan Dasar Agromakanan Negara 2021–2030 (DAN 2.0) dan Dasar Keterjaminan Makanan Negara 2030 (DKMN 2030).
“Daripada jumlah itu, RM4.85 bilion diperuntukkan bagi Perbelanjaan Mengurus, manakala RM2.07 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan.
“Antara inisiatif utama ialah peruntukan RM300 juta bagi Program Pemerkasaan Agromakanan Negara (PPAN) menerusi kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.
“Bagi memperkukuh industri padi serta menjaga kebajikan pesawah, sebanyak RM2.62 bilion disediakan untuk meneruskan pemberian subsidi dan insentif, dengan setiap pesawah dijangka menerima manfaat sekitar RM4,300,” katanya.
Manakala kadar Insentif Penuaian Padi (IPP) turut dinaikkan daripada RM50 kepada RM100 sehektar semusim, manakala Insentif Pembajakan Kepada Pesawah (IPKP) dikekalkan pada kadar RM300 sehektar semusim dan diperluas kepada pengusaha padi sawah di Sabah serta Sarawak.
“Kerajaan turut menyediakan pembiayaan RM1 bilion melalui Agrobank, Bank Rakyat dan Suruhanjaya Koperasi Malaysia bagi menyokong peningkatan hasil pertanian, termasuk melalui penggunaan teknologi moden.
“Dalam usaha membantu pengguna mendapatkan bekalan makanan pada harga berpatutan, sebanyak 5,000 Jualan Agro MADANI akan diteruskan dengan penawaran hasil pertanian segar pada harga sehingga 30 peratus lebih rendah,” katanya.
Penggunaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) juga diperluas ke 216 pasar tani atau tamu kendalian Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) di seluruh negara.
Sementara itu, sektor perikanan menerima peruntukan RM178 juta bagi pelbagai insentif, termasuk insentif hasil tangkapan dan Elaun Sara Hidup nelayan sehingga RM300 sebulan.
Nelayan yang layak turut menikmati harga diesel bersubsidi RM1.65 seliter, selain peruntukan RM30 juta bagi meningkatkan jumlah pemegang lesen sampan khas daripada 17,000 kepada 20,000 nelayan.