Segmen baharu Salam Baitullah menelusuri perjalanan pasca haji

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail

SHAH ALAM, 22 April – Program terbitan RTM, Salam Baitullah Musim ke-18 menampilkan kelainan menerusi pengenalan segmen baharu, iaitu ‘Istiqamah’.

RINGKASAN BERITA AI
  • Segmen Istiqamah memperincikan perjalanan jemaah pasca haji: perubahan, ujian dan usaha mengekalkan iman selepas pulang ke tanah air.
  • Musim ke-18 mengangkat tema 'Jihad Yang Terindah', menafsir jihad sebagai perjuangan batin menuju reda Ilahi dan pembentukan keinsanan.
  • Episod lalu mencatatkan sekitar 5 juta tontonan; pihak produksi berharap meneruskan momentum untuk penyampaian dakwah yang berkesan dan berimpak.

Ketua Pengarah Penyiaran, Ashwad Ismail berkata, segmen itu bakal memperincikan mengenai kisah jemaah selepas selesai menunaikan ibadah haji yang merangkumi perubahan, ujian dan perjalanan mengekalkan iman setelah pulang ke tanah air.

Menurut beliau, perjalanan menunaikan ibadah haji merupakan pengalaman peribadi yang memberi impak positif terhadap setiap individu ke arah menjadi insan yang lebih baik.

“Sebab kita tahu, ‘essence’ (intipati) istiqamah bukan mengenai cerita bermusim, sebaliknya mengenai perjalanan membentuk keinsanan, memberi suntikan terhadap nilai dan sentiasa menjadi cerminan atau refleksi diri untuk mengenal diri, mengenal Tuhan.

“Dan, perjalanan haji ini memberi gambaran tentang cabarannya ketika musim haji dan kemudiannya untuk meneruskan kesinambungan, sebaik tiba di tanah air selepas itu,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Majlis Pelancaran Salam Baitullah Musim 2026 di Mardhiyyah Hotel & Suites di sini, hari ini.

Ashwad turut mengimbau kejayaan program itu pada tahun lalu yang mencatatkan 5 juta tontonan secara keseluruhan merentasi platform TV dan digital.

Beliau berharap momentum dan sambutan seumpama itu dapat diteruskan dengan matlamat penyampaian dakwah yang berkesan dan berimpak kepada penonton.

Salam Baitullah Musim ke-18 mengangkat tema ‘Jihad Yang Terindah’ yang menafsirkan jihad dalam
makna yang luhur bukan sekadar perjuangan zahir, tetapi perjalanan batin menuju reda Ilahi.

Program ini menampilkan enam segmen utama, iaitu Khabar Tanah Suci, Duyufurrahman, Al-Bayan, Rehlah Haramain, Kapsul Haji dan Istiqamah.

Selain segmen baharu, tahun ini buat pertama kali, Salam Baitullah turut memperkenalkan Lagu Tema Rasmi (OST) nyanyian Lah Ahmad, iaitu sebuah karya yang merakamkan kerinduan, pengorbanan dan panggilan Ilahi.

Salam Baitullah Musim ke-18 akan bersiaran secara langsung menerusi TV1 mulai 13 Mei hingga 27 Mei 2026 dari pukul 9.00 malam hingga 10.30 malam.

Melangkaui siaran televisyen, ‘Salam Baitullah Unplugged: Benda Baik Kita Borak’ juga akan bersiaran pada pukul 7.45 malam menerusi laman sosial rasmi yang menampilkan pendekatan lebih segar bersama pempengaruh, selebriti dan tokoh jemputan.