
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Inisiatif diskaun 20 peratus sewaan oleh Majlis Amanah Rakyat (MARA) memberi kelegaan kepada peniaga di ibu kota dalam mendepani cabaran ekonomi dan peningkatan kos operasi.
- Peniaga bersyukur; inisiatif meringankan beban ketika ekonomi tidak stabil dan pelanggan semakin merosot.
- Pengurangan sewaan kurangkan kos operasi, bantu peniaga hadapi kenaikan harga barang dan sambutan perniagaan yang merosot.
- Lebih 7,000 lot premis perniagaan dinyatakan akan menerima pengurangan sewaan; peminjam disarankan dapatkan rundingan kewangan.
Rata-rata peniaga bersyukur dengan inisiatif berkenaan memandangkan keadaan ekonomi ketika ini kurang stabil dan sambutan pelanggan juga semakin merosot.

“Berpuas hatilah kerana inisiatif ini membantu semua peniaga di sini kerana keadaan ekonomi sekarang memang tidak begitu stabil dan pelanggan pun agak berkurangan,” kata Rahayu, peniaga di Medan Selera MARA, di sini.
Begitu juga dengan Azlinda Mohamad yang turut berkongsi pandangan sama.

“Alhamdulillah, bersyukur sangat kerana pengurangan ini dapat mengurangkan kos, terutama ketika sambutan perniagaan merosot. Sedikit sebanyak memang membantu,” katanya.
Sementara itu, bagi Muhamad Nur Rahman Mt Adil, pengurangan sewaan dapat meringankan beban peniaga dalam suasana ekonomi semasa.

“Sangat membantu dalam krisis semasa, apatah lagi dengan kenaikan harga barang yang tinggi. Alhamdulillah, ada pengurangan ini,” katanya
Peniaga butik pakaian, Rohayati Yusuf pula berterima kasih kepada kerajaan dan MARA atas inisiatif dalam meringankan beban peniaga,

“Ya Allah, syukur sangat. Alhamdulillah, diskaun 20 peratus ini sedikit sebanyak meringankan beban kami dalam menghadapi krisis semasa,” katanya
Terdahulu,Pengerusi MARA, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki memaklumkan lebih 7,000 lot premis perniagaan milik MARA di seluruh negara akan menerima pengurangan kadar sewaan sebanyak 20 peratus sepanjang tempoh krisis ekonomi semasa.
Langkah itu dilaksanakan susulan arahan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mahukan agensi persekutuan meringankan beban peniaga kecil bermula bulan ini.
Beliau turut menyarankan peminjam dan usahawan MARA yang menghadapi masalah kewangan untuk tampil ke pejabat MARA di peringkat daerah atau negeri bagi mendapatkan khidmat rundingan kewangan.