Agrikomoditi berpotensi tinggi, bukan lagi sekadar sektor bahan mentah

Peluang kerjaya dan keusahawanan dalam industri Agrikomoditi

BANGI, 7 Mei – Sektor agrikomoditi negara masih berdepan cabaran berterusan dalam menarik minat serta penyertaan generasi muda, khususnya bagi meneroka peluang kerjaya dan keusahawanan dalam industri tersebut.

RINGKASAN BERITA AI
  • Agrikomoditi kini pemacu ekonomi bernilai tambah tinggi, bukan lagi sekadar pengeluar bahan mentah.
  • Industri hiliran sawit, getah, koko dan kayu berkembang dalam farmaseutikal, kosmetik, makanan premium, biomaterial dan tenaga hijau.
  • Sektor menawarkan peluang pekerjaan mampan dan pendapatan lebih baik dengan prospek kerjaya jangka panjang.
  • Kerajaan mengukuhkan kerjasama industri, TVET dan institusi pengajian tinggi untuk memenuhi keperluan dan memupuk kepimpinan muda.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr Noraini Ahmad berkata, persepsi bahawa sektor berkenaan tidak menawarkan masa depan yang moden, stabil dan berdaya saing masih menjadi kekangan utama, walaupun potensinya semakin berkembang mengikut keperluan ekonomi semasa.

Menurut beliau, sektor agrikomoditi kini mempunyai potensi besar dalam menyediakan peluang pekerjaan yang mampan serta berdaya saing, terutama kepada golongan muda.

Katanya, industri hiliran berasaskan sawit, getah, koko dan kayu kini berkembang pesat dalam pelbagai bidang bernilai tinggi termasuk farmaseutikal, kosmetik, makanan premium, biomaterial dan tenaga hijau.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Pelancaran Skuad Agrikomoditi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK), hari ini.

Datuk Seri Dr Noraini menjelaskan bahawa sektor agrikomoditi tidak lagi terhad kepada pengeluaran bahan mentah, sebaliknya telah berkembang sebagai pemacu ekonomi bernilai tambah tinggi yang menawarkan pendapatan lebih baik serta prospek kerjaya jangka panjang.

Mengulas lanjut, beliau berkata generasi muda perlu dibentuk sebagai pemimpin industri, pencipta teknologi dan usahawan agrikomoditi yang mampu bersaing di peringkat global.

Sehubungan itu, kerajaan memperkukuh ekosistem kerjasama antara industri agrikomoditi, institusi Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta institusi pengajian tinggi bagi memenuhi keperluan semasa industri.