
PUTRAJAYA, 7 Mei – MyKad baharu yang dijangka mula diperkenalkan bulan depan akan dilengkapi dengan 53 ciri keselamatan berbanding 23 ciri pada MyKad sedia ada.
- Ciri keselamatan baharu termasuk turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod QR untuk penguatkuasaan dan cip dengan enkripsi dipertingkat.
- MyKad generasi baharu akan diperkenalkan bermula Jun dengan penambahbaikan struktur dan keselamatan untuk memperkukuh sistem identiti negara.
- Inisiatif ini selaras usaha kerajaan memperkasa keselamatan identiti bagi menangkis pemalsuan identiti, jenayah rentas sempadan dan penyalahgunaan teknologi digital.
- JPN menegaskan sistem MyKad kekal selamat, tidak mudah diklon dan agensi telah bersedia sepenuhnya untuk pelaksanaan.
Ketua Pengarah Pendaftaran Negara, Datuk Badrul Hisham Alias berkata antara ciri keselamatan baharu yang diperkenalkan ialah turihan laser, ultraungu, hologram, guilloche, teks mikro, kod respons pantas (QR) bagi tujuan penguatkuasaan dan cip dengan tahap enkripsi yang dipertingkatkan.
“MyKad baharu diperkenalkan bermula Jun ini dengan penambahbaikan besar dari segi struktur dan ciri keselamatan bagi memperkukuh sistem identiti nasional negara.
JPN kini sudah bersedia sepenuhnya untuk pelaksanaannya dan yang pasti ia mempunyai ciri-ciri keselamatan yang lebih baik daripada apa yang ada sekarang,” katanya ketika ditemui pemberita semasa Majlis Temu Mesra Pengurusan JPN Bersama Media di sini.
Pelaksanaan MyKad generasi baharu itu selaras dengan usaha kerajaan memperkasa keselamatan identiti rakyat seiring perkembangan teknologi dan cabaran keselamatan semasa.
“Dalam era ancaman pemalsuan identiti, jenayah rentas sempadan dan penyalahgunaan teknologi digital, Malaysia memerlukan sistem identiti yang lebih moden, selamat dan diyakini,”jelas beliau.
Dalam masa sama, beliau menegaskan sistem MyKad negara kekal selamat dan tidak boleh diklon.