
KUALA LUMPUR, 7 Mei – Busana Raja Permaisuri Agong (RPA) Raja Zarith Sofiah ketika lawatan khas ke Uzbekistan menampilkan elemen diplomasi budaya sebagai simbol penghormatan terhadap persahabatan Malaysia dan negara Asia Tengah itu.
- Seri Paduka mengenakan baju kurung kain benang Johor berwarna turquoise sempena Persidangan Diraja di Pusat Ketamadunan Islam Tashkent.
- Warna turquoise dipilih selari dengan kubah utama CIC yang menjadi mercu tanda seni bina tradisional Islam.
- Busana dipadankan selendang "abr" bermotif Ikkat, dihargai dalam diplomasi Uzbek, dan kerongsang bulan sabit bintang simbol agama Islam.
Menerusi hantaran di Facebook rasmi Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, Seri Paduka Baginda berkenan mengenakan baju kurung kain benang Johor berwarna turquoise sempena menghadiri Persidangan Diraja di Pusat Ketamadunan Islam (CIC) Tashkent pada Selasa lalu.
Menerusi hantaran itu, pemilihan warna turquoise dibuat bersempena warna kubah utama CIC berketinggian kira-kira 65 meter yang menjadi mercu tanda seni bina tradisional Islam di kompleks berkenaan.
“Baju itu telah dipadankan dengan sehelai selendang kain “abr” (bermaksud awan dalam bahasa Parsi) tempatan Tashkent berwarna sama bermotifkan corak bernama “Ikkat” yang dipandang tinggi dalam budaya politik dan diplomasi Uzbek.
“Busana RPA turut dilengkapi kerongsang bulan sabit dan bintang sebagai simbol agama Islam,” menurut hantaran itu.
Lawatan khas Seri Paduka Baginda ke Uzbekistan turut membuka lembaran baharu hubungan dua hala Malaysia dan Uzbekistan, khususnya dalam memperkukuh kerjasama pendidikan tinggi serta ketamadunan Islam.