USIM anjur Festival Produk Halal dan Pelancongan Islam MADANI 2026

Inisiatif perkukuh Malaysia sebagai hab halal global

NILAI, 7 Mei — Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) menerusi Institut Fatwa dan Halal (IFFAH) menganjurkan Festival Produk Halal dan Pelancongan Islam MADANI USIM 2026 bermula hari ini hingga 9 Mei depan.

RINGKASAN BERITA AI
  • Festival sebagai inisiatif memperkukuh Malaysia sebagai hab halal global dan destinasi pelancongan mesra Muslim.
  • Pelan Strategik Halal USIM 2026–2035 dilancarkan sebagai hala tuju sepuluh tahun merangkumi penyelidikan, pendidikan, pembangunan bakat, inovasi, jaringan industri dan komuniti.
  • Festival menghimpunkan enam puluh pempamer dari agensi kerajaan, pemain industri halal, penggiat pelancongan Islam dan institusi pendidikan.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Marhamah Rosli berkata, penganjuran festival itu merupakan antara inisiatif memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai hab halal global serta destinasi pelancongan mesra Muslim.

Menurut beliau, program berkenaan turut menjadi platform bersepadu dalam memperkasa ekosistem halal dan pelancongan Islam negara.

“Mudah-mudahan pemain industri halal dan pelancongan Islam dapat kita ketengahkan melalui program seperti ini. Kita juga berharap masyarakat lebih terbuka dan melihat industri halal serta pelancongan Islam sebagai pemangkin untuk memajukan bukan sahaja negara, malah negeri dan komuniti.” katanya.

Festival berkenaan menghimpunkan seramai 60 pempamer terdiri daripada agensi kerajaan, pemain industri halal, penggiat pelancongan Islam serta institusi pendidikan.

Pada majlis sama, turut dilancarkan Pelan Strategik (Blueprint) Halal USIM 2026–2035 yang menjadi dokumen hala tuju pembangunan halal universiti bagi tempoh 10 tahun akan datang.

Pelan strategik tersebut merangkumi aspek penyelidikan, pendidikan, pembangunan bakat, jaringan industri, inovasi serta pemerkasaan komuniti.

Antara pengisian utama festival ialah Pameran Ekspo Halal, Pelancongan Islam dan Hospitaliti Mesra Muslim, Seminar Revolusi Pelancongan Islam serta Muzakarah Jawatankuasa Halal Dalaman Kebangsaan.